BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Singapura Akan Teroka Kerjasama Dengan Malaysia, Indonesia Untuk Perkukuh Zon Ekonomi – TPM Gan

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Singapura sedang meneroka kerjasama tiga pihak dengan Malaysia dan Indonesia bagi menarik pelabur serta perniagaan ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta Kepulauan Batam, Bintan dan Karimun (BBK).

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura Gan Kim Yong berkata beliau telah berbincang dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto untuk mengenal pasti bidang kerjasama dalam zon ekonomi khas berkenaan.

“Kami mula meneroka bidang yang boleh diterokai bersama. Jika anda masih ingat, kami pernah ada konsep SIJORI (Singapura, Johor dan Riau) bagi melihat potensi kerjasama serantau.

Kini kami sedang memikirkan bagaimana tiga pihak ini boleh bekerjasama. Apabila kami menjalankan promosi pelaburan untuk menarik pelaburan ke rantau ini, ia bukan lagi sekadar mengenai Singapura dan Johor, tetapi turut melibatkan BBK,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-26 di sini hari ini.

JS-SEZ merupakan inisiatif bersama Malaysia dan Singapura bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi rentas sempadan, manakala BBK di Indonesia ialah kawasan ekonomi khas yang mana Singapura merupakan antara pelabur utama di wilayah itu.

Zon ekonomi itu meliputi kawasan seluas 357,128 hektar, termasuk Wilayah Pembangunan Iskandar serta tiga kawasan tambahan lain.

JS-SEZ akan merangkumi Pusat Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai dan Sedenak. 

Dikenali sebagai zon utama, setiap kawasan itu akan memberi tumpuan kepada projek daripada pelbagai sektor penting ekonomi.

-- BERNAMA