BERITA TERKINI   Keputusan BN dan PH untuk bertanding di 56 kerusi DUN di PRN Johor tidak akan jejaskan kerjasama Kerajaan Perpaduan - Fahmi | Jabatan Wilayah Persekutuan salur bantuan kewangan sehingga RM3,000 kepada keluarga terjejas akibat ribut di Kampung Tanjung Aru, Labuan | PH Johor akan tanding semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang - Aminolhuda Hasan | 

Malaysia Alu-alukan Kerjasama China Dalam Pembangunan Industri REE - MITI

 

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Malaysia mengalu-alukan kerjasama dengan China dalam membangunkan industri pemprosesan unsur nadir bumi (REE) tempatan, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

MITI berkata Malaysia sentiasa memanfaatkan kerjasama strategik dengan negara berkeupayaan teknologi tinggi dalam pemprosesan REE memandangkan walaupun mempunyai deposit nadir bumi, negara masih belum memiliki kepakaran dan teknologi mencukupi untuk memprosesnya.

“Malaysia sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan negara-negara asing yang berkeupayaan dalam pembangunan sumber REE termasuk dari China dan Amerika Syarikat (AS),” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.  

MITI menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) yang meminta penjelasan bagaimana kementerian mengimbangi tawaran China membangunkan industri REE dengan hubungan sedia ada bersama AS.

Menurut MITI, langkah itu juga bertujuan memastikan Malaysia tidak terlalu bergantung kepada teknologi pemisahan REE dari satu negara sahaja.

MITI juga menegaskan bahawa strategi ini selaras dengan pelaksanaan dasar nasional seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Negara 2021–2030 yang menumpukan pembangunan bahan berteknologi tinggi.

--BERNAMA