BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Inovasi, Kerjasama Kukuh Kunci Capai Matlamat Ketersambungan Malaysia – EdgePoint

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) – Usaha inovasi lanjut dalam penyelesaian teknologi dan kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta sememangnya diperlukan bagi mencapai matlamat ketersambungan nasional, kata EdgePoint Infrastructure yang juga penyelesaian infrastruktur telekomunikasi.

Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengasasnya, Suresh Sidhu berkata penerimagunaan pendekatan moden termasuk penyewaan infrastruktur, penyelesaian berulang yang sesuai, pengembangan liputan dalam bangunan serta pilihan “backhaul” juga penting dalam usaha memastikan ketersambungan berkelajuan tinggi serta lancar di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik komitmen kerajaan dalam Belanjawan 2026 yang juga belanjawan terbesar pernah dibentangkan dengan peruntukan untuk sektor telekomunikasi.

Antara peruntukan utama adalah RM770 juta bagi baki lokasi Point of Presence (PoP), RM780 juta untuk Rangkaian Digital Negara (JENDELA) bagi memperluas jalur lebar ke 2,700 kawasan baharu, RM900 juta untuk elektrifikasi luar bandar dan peluasan telekomunikasi serta RM650 juta bagi naik taraf telekomunikasi untuk kemudahan awam.

“Selain itu, peruntukan RM2 bilion bagi kabel dasar laut sepanjang 3,190 kilometer adalah pelaburan penting untuk menyokong ledakan kecerdasan buatan (AI) selain merapatkan lagi jurang digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suresh juga berharap projek seterusnya yang dirancang Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bakal memberi manfaat kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan berkaitan, khususnya di Sarawak, Sabah dan negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.

“Kami teruja untuk mendapat maklumat lanjut projek-projek ini yang kami syorkan agar berdasarkan objektif konkrit dan percaya satu proses yang telus serta kompetitif akan dilaksanakan bagi membolehkan syarikat-syarikat telekomunikasi turut serta selain menyokong kerajaan mencapai matlamatnya,” katanya.

EdgePoint Infrastructure merupakan sebuah syarikat infrastruktur telekomunikasi bebas berpangkalan di ASEAN dengan ibu pejabat di Singapura serta turut beroperasi di Malaysia, Indonesia dan Filipina.

-- BERNAMA