Inti Pati Belanjawan 2026

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) – Berikut merupakan inti pati Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

  • Belanjawan 2026 akan mengumpulkan dan mengoptimumkan sumber negara termasuk dana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lepas.
  • Kerajaan menyediakan RM180 juta Dana Pembangunan Industri NIMP bagi membiayai program pembangunan industri di bawah sektor berimpak tinggi.
  • GLIC melalui ikhtiar GEAR-uP meningkatkan pelaburan dalam negara kepada RM30 bilion daripada RM25 bilion tahun ini.
  • Mengikut NSS, BPMB menyediakan pinjaman RM500 juta bagi menyokong aktiviti nilai tambah tinggi oleh syarikat tempatan yang menyokong ekosistem E&E.
  • iTEKAD dengan dana padanan RM35 juta akan diperluas - PM Anwar
  • SJPP sedia menjamin sehingga 70 peratus pembiayaan syarikat pertengahan berorientasi eksport dengan nilai jaminan sehingga RM5 bilion.
  • Lebih RM2.5 bilion pinjaman mikro disediakan di bawah BSN dan TEKUN.
  • Institusi kewangan pembangunan (DFI) menyediakan pembiayaan dan geran hampir RM1 bilion untuk menyokong automasi proses dan pendigitalan operasi perniagaan.
  • Jumlah kemudahan pinjaman dan jaminan kerajaan yang tersedia untuk manfaat usahawan tempatan bernilai RM50 bilion pada tahun hadapan berbanding RM40 bilion.
  • Kerajaan bercadang pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan dihadkan kepada nilai kenderaan tidak melebihi RM300,000 berkuat kuasa 1 Jan, 2026.
  • Kutipan hasil kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat kepada RM343.1 bilion pada 2026 berbanding RM334.1 billion unjuran tahun ini.
  • Khazanah, KWAP melabur RM550 juta dalam ekosistem semikonduktor dalam usaha meningkatkan usaha sama firma tempatan dan syarikat multinasional.
  • Kerajaan menyediakan RM20 juta bagi menyokong syarikat mula niaga mengeluarkan produk mekanisasi dan automasi dengan kerjasama MPOB dan syarikat utama sawit.
  • Kerajaan peruntuk hampir RM120 juta bagi membela nasib pekebun kecil.
  • Kerajaan mencadangkan nilai ambang gaji bagi kontrak penggajian yang dikecualikan daripada pengenaan duti setem dinaikkan daripada RM300 kepada RM3,000 sebulan mulai 1 Jan, 2026.
  • GLIC, GLC sedang menggerakkan pelaburan bernilai RM16.5 bilion untuk 2026.
  • Cukai Karbon diperkenalkan mulai tahun hadapan dengan tumpuan awal kepada sektor besi, keluli dan tenaga.
  • NETR terus memacu pemain industri menerusi sokongan Dana Peralihan Tenaga Negara berjumlah RM150 juta.
  • Kerajaan meneruskan pemberian rebat bagi pembelian kelengkapan jenis cekap tenaga kepada pengguna dan peniaga dengan peruntukan RM20 juta.
  • Kerajaan bercadang melanjutkan tempoh permohonan pengecualian cukai pendapatan perusahaan sosial sehingga 2028.
  • Kerajaan setuju kadar duti eksais bagi produk minuman keras dinaikkan sebanyak 10 peratus mulai 1 Nov, 2025.
  • Kerajaan lanjut tempoh pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas produk terapi gantian nikotin dan diperluas kepada produk "nicotine mist" dan "nicotine lozenges" sehingga 31 Dis, 2027.
  • Kerajaan cadang pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000, dilanjutkan selama dua tahun sehingga 31 Dis, 2027.
  • Kerajaan cadang kenakan duti setem pada kadar rata daripada empat kepada lapan peratus ke atas surat cara pindah milik rumah kediaman oleh individu bukan warganegara dan syarikat asing.
  • Kerajaan cadang perbelanjaan pengubahsuaian dan menukar bangunan komersial kepada tempat kediaman diberi potongan cukai khas 10 peratus daripada perbelanjaan yang layak, dengan potongan cukai terhad sehingga RM10 juta.
  • Peruntukan aktiviti RDCI rentas kementerian hampir RM5.9 bilion.
  • Sovereign AI Cloud akan dibina oleh SKMM dengan pelaburan RM2 bilion.
  • Kerajaan bercadang perkenal potongan cukai tambahan 50 peratus diberikan kepada PMKS bagi perbelanjaan kos latihan berkaitan AI dan keselamatan siber.
  • Penandaan logo Buatan Malaysia, Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia terus diperkasa dengan peruntukan RM20 juta untuk meningkatkan pendedahan produk Malaysia di pasaran tempatan dan antarabangsa.
  • Geran Pembangunan Pasaran MATRADE menyediakan RM60 juta bagi memudah cara PMKS mengeksport produk ciptaan Malaysia ke pasaran sedia ada dan pasaran baharu termasuk Afrika, Amerika Latin dan Asia Tengah.
  • RM40 juta disediakan bagi mempercepat proses peningkatan skala syarikat bumiputera berpotensi tinggi.
  • Ekuinas akan membangunkan syarikat pelaburannya sehingga dapat disenaraikan dan diambil alih oleh PNB susulan penyatuan Ekuinas dan PHB di bawah YPB.
  • KWAP menyediakan RM20 juta untuk program pembiayaan mikro bagi pesara, memperkasakn keusahawanan di peringkat komuniti.
  • RM2.4 bilion khusus untuk kontraktor G1-G4 bumiputera.
  • RM10 bilion dikhususkan untuk menyokong usahawan bumiputera daripada RM30 bilion jaminan kerajaan di bawah SJPP.
  • Program Jaguh Serantau SME Bank sediakan pinjaman RM200 juta kepada PKS bumiputera untuk menembusi pasaran eksport.
  • CIDB menyediakan RM10 juta bagi meningkatkan daya saing usahawan bumiputera khususnya kontraktor muda industri pembinaan.
  • Program Penskalaan Usahawan Bumiputera MARA menyediakan RM100 juta bagi menyokong pertumbuhan syarikat mula niaga dalam sektor strategik bernilai tinggi.
  • RM105 juta untuk VentureTECH tingkat pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor teknologi tinggi.
  • RM230 juta disediakan kepada AIM untuk terus menawarkan pembiayaan, menjadikan dana AIM yang tersedia berjumlah RM2.9 bilion.
  • Kerajaan bersetuju menyalurkan dana permulaan RM10 juta melalui penubuhan Dana Nasional Syarikat Terbitan.
  • Keseluruhan penyasaran subsidi menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion setahun.
  • Kerajaan akan meminda Akta Perlindungan Pengguna untuk memasukkan elemen Lemon Law bagi melindungi hak pengguna yang sering tertindas.
  • Malaysia akan terus menerajui bidang AI serta menyubur aktiviti penyelidikan, pembangunan, komersial dan daya cipta.
  • Geran Pecutan Digital Malaysia dengan peruntukan RM53 juta disediakan bagi mempercepat pertumbuhan, penerimagunaan teknologi seperti blockchain, AI dan perkomputeran kuantum.
  • Kerajaan cadang supaya Elaun Cukai Pelaburan Aset Hijau untuk Kegunaan Sendiri sebanyak 100 peratus diberikan kepada syarikat yang guna produk teknologi hijau buatan tempatan yang diiktiraf MyHIJAU Mark.
  • EXIM Bank menyediakan pinjaman mudah untuk membantu syarikat yang terkesan akibat ketegangan tarif perdagangan global dengan dana RM500 juta.
  • Susulan rasionalisasi pejabat kerajaan di luar negara, Program Jaringan Strategik Ekonomi, Perdagangan dan Pelaburan digerakkan dengan peruntukan RM10 juta terutamanya di pasaran baharu berpotensi tinggi.
  • Bank Rakyat, BSN, MARA dan SME Bank sediakan pembiayaan RM270 juta sokong usahawan PMKS wanita.
  • Ikhtiar e-Invois dilaksanakan secara menyeluruh mulai 2026, serta sistem taksir sendiri duti setem bagi memupuk pematuhan cukai.
  • JKDM akan perkenal setem cukai digital dengan ciri keselamatan dipertingkat bagi membendung pemalsuan, serta menangani ketirisan di pintu masuk negara melalui “Centralised Screening Complex” CCTV.
  • Agenda Reformasi berjaya menyelaras lebih 1,000 projek, paling utama dapat menjimatkan kos pematuhan sehingga RM1.1 bilion dan antara sebab Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia.
  • Kerajaan akan perkenal Status “ASEAN Business Entity” (ABE) yang diselaraskan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
  • Skim Insentif Pejabat Keluarga Tunggal untuk Zon Kewangan Khas Forest City tempa kejayaan besar susulan enam Pejabat Keluarga diluluskan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) hampir RM400 juta dalam tempoh kurang setahun.
  • 30 lagi Pejabat Keluarga telah nyatakan minat, Malaysia di landasan tepat untuk capai RM2 bilion AUM pada penghujung 2026.
  • Mulai suku pertama 2026, Kerangka Insentif Baharu Berasaskan Keberhasilan, akan dilaksanakan sepenuhnya bagi sektor perkilangan, diikuti sektor perkhidmatan pada suku kedua.

-- BERNAMA