Hasil Kerajaan Persekutuan Diunjur Meningkat 2.7 Peratus Kepada RM343.1 Bilion Pada 2026 - Kementerian Kewangan

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Hasil kerajaan Persekutuan diunjur meningkat 2.7 peratus kepada RM343.1 bilion pada 2026, daripada RM334.1 bilion yang dijangka pada 2025, terutamanya disumbangkan oleh hasil cukai.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF) dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 yang dikeluarkan hari ini, hasil cukai yang dianggar sebanyak RM270.4 billion merangkumi 78.8 peratus daripada jumlah hasil atau 12.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Hasil kerajaan persekutuan pada 2025 disemak semula dan dijangka meningkat sebanyak 2.9 peratus kepada RM334.1 bilion berbanding 2024, dengan hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama kepada kutipan hasil keseluruhan.

MoF berkata hasil bukan cukai pula dianggar sebanyak RM72.7 bilion atau 3.4 peratus daripada KDNK, manakala bahagian hasil bukan cukai pada 2025 dianggar berkurang kepada RM80.7 bilion atau 24.2 peratus daripada jumlah hasil.

 

Cukai Pendapatan Individu, Syarikat Penyumbang Utama kepada Kutipan Cukai Langsung

MoF berkata kutipan cukai langsung diunjur meningkat sebanyak 5.8 peratus kepada RM187.4 bilion pada 2026, merangkumi 69.3 peratus daripada jumlah hasil cukai terutamanya didorong oleh kutipan cukai pendapatan individu dan syarikat yang lebih tinggi.

Kutipan hasil cukai pendapatan syarikat (CITA) kekal sebagai sumber terbesar cukai langsung dengan anggaran sebanyak RM103.4 bilion disokong aktiviti ekonomi domestik yang kekal mampan dan pelaksanaan penuh sistem e-Invois, katanya.

“Cukai pendapatan individu juga dianggar meningkat sebanyak 9.4 peratus kepada RM49.1 bilion pada 2026 yang mencerminkan kestabilan pasaran buruh dan pertumbuhan gaji berterusan, fasa kedua pelarasan gaji penjawat awam dijangka terus memperluas asas percukaian,” kata MoF.

Selain itu, hasil daripada komponen cukai langsung lain khususnya duti setem dan cukai keuntungan harta hanah, dianggar meningkat kepada RM10.3 bilion dan RM2.4 bilion pada 2026, sejajar dengan pertambahan transaksi dalam sektor hartanah.

Bagi hasil berkaitan petroleum, MoF berkata ia diunjur terus berkurang kepada RM43 bilion pada 2026, disebabkan oleh dividen Petroliam National bhd (Petronas) yang lebih rendah.

 

SST Sumbang 71.8 Peratus kepada Kutipan Cukai Tidak Langsung

MoF berkata cukai tidak langsung diunjur meningkat sebanyak 8.9 peratus kepada RM83 bilion pada 2026, dimana cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dijangka kekal sebagai komponen utama yang meyumbang sebanyak RM59.6 bilion atau 71.8 peratus daripada jumlah hasil cukai tidak langsung.

Cukai jualan dianggar sebanyak RM26.6 bilion, manakala cukai perkhidmatan dijangka mencatat RM33 bilion. Jumlah ini menggambarkan perbelanjaan penggunaan yang rancak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Selain itu, duti eksais dianggar mencatat RM12.8 bilion disokong oleh pengenalan model kenderaan baharu dan promosi yang agresif serta penamatan tempoh pengecualian duti eksais ke atas kenderaan elektrik completely built up (CBU) (model import penuh) bermula 2026,” katanya.

Bagi kutipan cukai tidak langsung pada 2025, MoF berkata angka itu diunjur meningkat sebanyak 11.3 peratus kepada RM76.3 bilion, didorong kutipan SST yang lebih tinggi.

“Cukai perkhidmatan dijangka melonjak sebanyak 26.1 peratus kepada RM29.3 bilion lanjutan daripada perlaksanaan penuh cukai perkhidmatan dengan kadar lapan peratus serta peluasan skop perkhidmatan bercukai termasuk logistik, sewaan dan perkhimatan kewangan terpilih,” katanya.

Cukai jualan juga dianggar meningkat sebanyak 12 peratus kepada RM24.1 bilion didorong oleh penggunaan swasta yang rancak dan impak daripada peluasan cukai jualan ke atas barangan terpilih.

-- BERNAMA