MARC Ratings Kekalkan Penarafan AA-IS Orkim Dengan Semakan Semula Prospek
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- MARC Ratings mengekalkan penarafan AA-IS untuk program nota jangka sederhana Islam (IMTN) Orkim Bhd sehingga RM1 bilion dan menyemak semula prospek penarafan daripada stabil kepada positif.
Semakan semula prospek itu mencerminkan keyakinan ke atas asas kukuh syarikat, kedudukannya sebagai peneraju dalam pengangkutan marin khususnya dalam pasaran pengangkutan produk petroleum bersih (CPP) domestik dan trajektori pertumbuhan syarikat itu, kata Orkim dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MARC, semakan semula prospek berkenaan berdasarkan kepada cadangan penstrukturan semula pemegang saham Orkim yang akan menyaksikan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan dana unit amanah kendaliannya memegang kepentingan majoriti dalam Orkim.
Peralihan itu menandakan sokongan berterusan yang dijangkakan daripada pemegang saham institusi yang kukuh, sekali gus menggariskan penjajaran syarikat dengan Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP).
Ketua Pegawai Eksekutif Orkim Kapten Cheah Sin Bi berkata keputusan MARC untuk menyemak semula prospek penarafan Orkim kepada positif memberi dorongan kepada syarikat.
“Pengiktirafan ini mencerminkan kekuatan asas kami, strategi pertumbuhan yang berdisiplin dan keyakinan terhadap keupayaan Orkim untuk menyampaikan nilai jangka panjang,” katanya.
Orkim merupakan pembekal terkemuka perkhidmatan pengangkutan maritim untuk CPP di Malaysia dan rantau ini.
Menurut kenyataan itu, syarikat berkenaan mengendalikan armada yang pelbagai di bawah perjanjian pajakan jangka panjang dengan syarikat minyak utama terkemuka dan terus memberi tumpuan kepada pengurusan armada yang berhemat untuk menyokong kecekapan operasi dan pertumbuhan yang mampan.
Syarikat itu memiliki armada CPP domestik terbesar terdiri daripada 15 kapal tangki CPP yang beroperasi dan dua kapal tangki gas petroleum cecair daripada kira-kira 27 kapal tangki CPP dan kimia yang berdaftar di Malaysia.
Orkim berkata setakat akhir Ogos 2025, kontrak pajakan masanya mempunyai nilai yang belum dijelaskan sebanyak RM633.9 juta termasuk tempoh lanjutan, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan sehingga 2032.
-- BERNAMA