BERITA TERKINI   GSF 2.0: Usaha diplomatik sedang digerakkan dengan negara serantau dan Turkiye untuk pembebasan aktivis - KP SNCC | Semua aktivis GSF 2.0 diculik dari kapal masing-masing bawah ancaman senjata - KP SNCC | GSF 2.0: Kesemua 50 buah kapal bawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas secara haram oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa - KP SNCC | Eksport naik 36.9 peratus tahun ke tahun kepada RM182.74 bilion pada April 2026, import meningkat 20 peratus kepada RM153.99 bilion, menjana lebihan dagangan RM28.75 bilion - MATRADEĀ  | Perdagangan Malaysia meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun pada April 2026, pertumbuhan paling pesat sejak September 2022, mencecah RM336.73 bilion - MATRADE | 

Bursa Malaysia Dibuka Rendah, Dipengaruhi Penurunan Di Wall Street

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu, menjejaki prestasi lemah Wall Street apabila pelabur kekal dengan sentimen berhati-hati berikutan penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang berpanjangan.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.83 mata atau 0.42 peratus kepada 1,623.20 daripada 1,630.03 ketika ditutup semalam.

FBM KLCI dibuka 1.88 mata lebih rendah kepada 1,628.15.

Lingkungan pasaran adalah negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 219 berbanding 121 manakala 284 kaunter tidak berubah, 1,960 kaunter tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 167.20 juta unit bernilai RM78.31 juta.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata trend menurun di Wall Street menunjukkan pasaran ekuiti semakin tidak menentu, apabila pelabur mula mempersoalkan seberapa lama penutupan kerajaan AS akan berterusan.

“Kebimbangan yang semakin meningkat ini mungkin memberi tekanan kepada pasaran Asia hari ini, dan kami menjangkakan pasaran dibuka lebih rendah. Berdasarkan konteks, penutupan kerajaan AS paling lama dalam sejarah berlaku selama 35 hari, dari 22 Dis, 2018 hingga 25 Jan, 2019,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM9.96, Public Bank susut dua sen kepada RM4.34, CIMB Group turun empat sen kepada RM7.63, IHH Healthcare susut 1.5 sen kepada RM8.04, dan Tenaga Nasional kekal pada RM13.28.

Bagi saham aktif, KNM Group dan TWL masing-masing kekal pada 0.5 sen dan tiga sen manakala Pharmaniaga, Tanco dan Land & General masing-masing naik 0.5 sen kepada 29 sen, 86.5 sen dan 16 sen.

Antara kaunter paling untung Kuala Lumpur Kepong melonjak 20 sen kepada RM20.50; Cahya Mata Sarawak naik tujuh sen kepada RM1.22; UWC menambah enam sen kepada RM4.21; Life Water naik 5.5 sen kepada RM1.05; dan Malayan Cement menokok lima sen kepada RM6.78.

Antara kaunter paling rugi Malaysian Pacific Industries merosot 22 sen kepada RM31.26; United Plantations susut 10 sen kepada RM23.42; Gamuda turun sembilan sen kepada RM10.38; dan YTL Power kurang lapan sen kepada RM4.13.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 44.56 mata kepada 12,082.76, Indeks FBM 100 turun 45.74 mata kepada 11,814.11, manakala Indeks FBM Emas Syariah susut 40.57 mata kepada 12,092.77.

Indeks FBM 70 turun 48.38 mata kepada 16,917.22, manakala Indeks FBM ACE kurang 22.61 mata kepada 5,288.80.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.16 mata kepada 173.43, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 95.34 mata kepada 18,476.61, manakala Indeks Tenaga naik 1.40 mata kepada 781.97 dan Indeks Perladangan menambah 4.40 mata kepada 7,798.25.

-- BERNAMA