BERITA TERKINI   Cadangan Bekerja Dari Rumah sektor awam diteliti, mungkin dibincang dalam Kabinet esok - Fahmi | Unit MN Holdings raih kontrak projek pencawang pusat data bernilai RM216 juta di selatan Semenanjung Malaysia | Jumlah rizab LTAT meningkat 29.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.31 bilion berbanding RM1.01 bilion pada tahun kewangan 2024 | LTAT catat RM749.49 juta dalam pendapatan pelaburan bagi tahun kewangan 2025, keuntungan boleh agih berjumlah RM541.56 juta. | LTAT isytihar dividen 5.35 peratus, RM524.74 juta bagi tahun kewangan 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun | 

Rizab Antarabangsa BNM Meningkat Kepada US$123.6 Bln Pada 30 Sept

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada US$123.6 bilion pada 30 Sept, 2025 daripada US$122.7 billion pada 29 Ogos, 2025.

Dalam kenyataan pada Selasa, bank pusat menjelaskan paras rizab itu memadai untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan, dan 0.9 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.

Komponen utama rizab antarabangsa itu meliputi rizab mata wang asing (US$109.3 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (US$1.3 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (US$5.9 bilion), emas (US$4.8 bilion) dan aset rizab lain (US$2.3 bilion).

Jumlah aset sebanyak RM625.06 bilion, merangkumi emas dan pertukaran asing, dan rizab-rizab lain termasuk SDR (RM520.90 bilion), Kertas Kerajaan Malaysia (RM13.42 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.41 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM27.81 bilion), tanah dan bangunan (RM4.57 bilion) serta aset-aset lain (RM56.93 billion).

Menurut BNM modal dan liabiliti berjumlah RM625.06 bilion, meliputi modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM200.90 bilion), mata wang dalam edaran (RM172.05 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM133.00 bilion), deposit oleh Kerajaan Persekutuan (RM11.68 bilion), deposit lain-lain (RM65.51 bilion), Kertas Bank Negara (RM8.36 bilion), peruntukan SDR (RM27.87 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM5.56 bilion).

-- BERNAMA