BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Pemain snuker negara Thor Chuan Leong menang pingat emas acara 6-Red perseorangan lelaki | Sukan SEA 2025: Atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata cipta kejutan rangkul emas, pecah rekod kebangsaan dengan catatan 16.36 meter | Ringgit ditutup dengan terus melonjak, mencecah 4.09 berbanding dolar AS - paras paling kukuh dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan | MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | 

Ringgit Ditutup Sedikit Rendah Berbanding Dolar AS Ekoran Pengambilan Untung

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Ringgit menamatkan aliran meningkat selama empat hari untuk ditutup sedikit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, apabila kalangan pelabur mengambil untung ekoran ketidaktentuan pasaran susulan penutupan kerajaan negara maju itu.

Pada 6 petang, ringgit susut sedikit berbanding dolar AS kepada 4.2055/2125 daripada 4.2040/2090 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata masih belum dapat dipastikan seberapa lama penutupan kerajaan AS akan berlanjutan, dengan data pembayaran gaji bukan ladang (NFP) bagi September mungkin ditangguhkan.

“Situasi ini akan mengurangkan kejelasan mengenai trend terkini dalam pasaran buruh, yang agak boleh menyukarkan penilaian oleh Rizab Persekutuan AS (Fed),” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.9360/9442 daripada 4.9410/9468 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding pound British kepada 5.6577/6671 daripada 5.6741/6809.

Unit tempatan turut lebih stabil berbanding yen Jepun kepada 2.8537/8586 daripada 2.8669/8705.

Ringgit mencatatkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang domestik naik berbanding baht Thailand kepada 12.9807/13.0084 daripada 12.9829/13.0040 ketika ditutup pada Khamis, dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2621/2678 daripada 3.2665/2707.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 253.9/254.4 daripada 253.2/253.6 semalam, dan turun berbanding peso Filipina kepada 7.26/7.28 berbanding 7.23/7.25.

-- BERNAMA