i-CATS, METU Turkiye Meterai MoU Pacu Kerjasama Global Dalam Aeroangkasa Dan Pendidikan
KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- i-CATS University College (i-CATS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Middle East Technical University (METU), Turkiye bertujuan meningkatkan kerjasama global dalam bidang aeroangkasa dan pendidikan.
i-CATS, universiti milik penuh kerajaan Sarawak, dalam satu kenyataan memaklumkan kerjasama kedua-dua institusi pengajian tinggi itu melibatkan projek penyelidikan dan inovasi bersama dalam aeroangkasa dan bidang berkaitan; pertukaran program bagi memupuk pembelajaran rentas budaya dan mobiliti akademik; latihan dan pembangunan profesional bagi petugas dan pelajar; serta inisiatif berasaskan industri yang selari dengan keutamaan strategik Malaysia dan Turkiye.
“Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2023 dan kedudukan global METU dalam penyelidikan dan teknologi, kerjasama ini merupakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh rangkaian akademik antarabangsa sekali gus meletakkan i-CATS sebagai kolej universiti yang berdaya saing di peringkat global dan relevan dengan keperluan industri,” menurut kenyataan itu.
Majlis menandatangani MoU berkenaan diadakan sempena Persidangan Aeroangkasa Antarabangsa Ankara ke-13 (AIAC'25) anjuran METU dari 17 hingga 19 Sept lepas, dengan i-CATS turut mengambil bahagian melalui pembentangan kertas kerja oleh Fakulti Kejuruteraan Aeroangksanya.
Pengerusi Lembaga Pengarah i-CATS Tan Sri Abdul Aziz Husain dalam kenyataan sama berkata MoU dengan METU bukan sekadar simbol kerjasama tetapi juga pemangkin bagi menjadikan Sarawak sebagai hab pendidikan dan inovasi berteknologi tinggi.
“Melalui kerjasama ini pelajar dan penyelidik kami akan mendapat pendedahan dan kepakaran bertaraf dunia sekali gus memperkukuh masa depan Sarawak sebagai hab kecemerlangan,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor i-CATS Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata kerjasama tersebut membina asas kepada penyelidikan berimpak tinggi, mobiliti bakat di peringkat global dan kerjasama industri yang akan meningkatkan peranan Sarawak dan ekonomi berasaskan pengetahuan.
Naib Presiden METU Prof Dr Feride Pınar Acar pula berkata MoU itu mengukuhkan lagi misi bersama kedua-dua institusi berkenaan untuk memupuk inovasi, bakat dan pengetahuan yang memberi kesan berkekalan bukan sahaja kepada Turkiye dan Sarawak tetapi juga di peringkat global.
-- BERNAMA