BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Dalam Persekitaran Penurunan Dolar AS

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin, berikutan para pelabur beralih kepada aset selamat dalam persekitaran kelemahan prestasi dolar AS (Amerika Syarikat) dan ketidaktentuan yang meningkat terhadap dasar ekonomi AS, kata seorang penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ekonomi AS berkemungkinan merosot berikutan pentadbiran eksekutif sedang bergelut dalam merangka dasar yang tepat di tengah-tengah perpecahan politik.

Justeru itu, ekonomi AS memerlukan sokongan selanjutnya seperti kadar faedah yang lebih rendah, katanya.

 "Bank pusat AS mungkin perlu lebih berani dalam menurunkan kadar faedah, dan langkah ini berpotensi memberi kesan kepada sentimen risiko pasaran.

"Memandangkan dolar AS mempunyai status aset selamat yang tinggi, logam berharga seperti emas dilihat sebagai pengganti yang tepat. Keadaan ini telah melonjakkan nilai emas,” katanya kepada Bernama.

Kontrak niaga hadapan emas September 2025 naik kepada US$3,817.3 bagi setiap auns troy berbanding US$3,750.3 pada Jumaat, manakala kontrak Oktober 2025 meningkat kepada US$3,832.4 daripada US$3,765.4, dan kontrak November 2025 turut naik kepada US$3,850.6 daripada US$3,783.6.

Kontrak Disember 2025, Februari 2026, April 2026 dan Jun 2026 masing-masing ditutup lebih tinggi pada paras US$3,869.0 bagi setiap auns troy berbanding US$3,803.5 pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan merosot kepada 339 lot berbanding 605 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka juga menurun kepada 375 kontrak daripada 658 kontrak sebelumnya.

Harga emas fizikal pula berada pada paras US$3,769.85 bagi setiap auns troy berdasarkan penetapan London Bullion Market Association pada 26 Sept, 2025.

-- BERNAMA