BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2025, mansuh Peraturan 78 bagi pinjaman sewa beli kadar tetap | SPR adakan Mesyuarat Khas pada 16 Okt ini untuk bincang tarikh penting dan perkara lain berkaitan PRN Sabah ke-17 | SPR terima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya tentang pembubaran DUN Sabah ke-16 -- SPR | Pendapatan purata bulanan isi rumah meningkat 3.8 peratus kepada RM9,155 pada 2024 berbanding RM8,479 pada 2022 - Amir Hamzah | Kadar kemiskinan tegar turun kepada 0.09 peratus pada 2024 berbanding 0.2 peratus pada 2022 - Amir Hamzah | 

Kerjasama Dalam Sektor Semikonduktor Malaysia-India Jadi Tumpuan Utama Menjelang Lawatan Modi

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Malaysia dan India sedang meneroka kerjasama lebih erat dalam sektor semikonduktor, pengumuman mengenainya dijangka dilakukan semasa lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi ke Malaysia bulan depan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong yang bertemu dengan Menteri Negara bagi Perdagangan dan Industri India, Jitin Prasada untuk mesyuarat dua hala pada tengah hari, hari ini  berkata perbincangan itu juga tertumpu kepada pengukuhan kerjasama antara Malaysia dan India.

"Terdapat banyak potensi untuk Malaysia dan India bekerjasama dalam semikonduktor," katanya kepada Bernama.

Modi antara pemimpin yang akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober depan bersama Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri China Li Qiang.

Mesyuarat dua hala antara India dan Malaysia diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan di sini hari ini termasuk Perundingan AEM-India ke-22.

Liew menyifatkan perbincangan dengan India sebagai "jujur dan berterus-terang", dan memberitahu bahawa mengadakan libat urus secara berterusan akan membantu kedua-dua pihak mencapai kata sepakat.

Perdagangan dua hala Malaysia-India mencecah US$20.01 bilion pada 2023-2024.

Malaysia adalah rakan dagangan ke-16 terbesar India dan berada di kedudukan sebagai rakan dagang ketiga terbesar negara di ASEAN manakala India berada antara 10 rakan dagangan teratas Malaysia.

-- BERNAMA