BERITA TERKINI   Polis jangka sebanyak 2.1 juta kenderaan akan berada di atas jalan raya sempena cuti Deepavali bermula 18 Okt ini - Pengarah JSPT Bukit Aman | Ops Lancar sempena sambutan Deepavali akan dilaksanakan bermula 17 hingga 21 Okt - Pengarah JSPT Bukit Aman | Op Lancar sempena sambutan Deepavali akan dilaksanakan polis bermula 17 hingga 21 Okt ini - Pengarah JSPT Bukit Aman | Akta Perkhidmatan Pos 2012 akan dipinda, pastikan ekosistem lebih lestari, jamin kebajikan pekerja - Fahmi | Dana Perkhidmatan Pos inisiatif strategik, sokong transformasi sektor pos agar kekal relevan, mampan dan berdaya saing - Fahmi | 

Inisiatif Burung Pungguk Jelapang MPOGCF Raih Anugerah Pembangunan Mampan

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) meraih Anugerah Pembangunan Mampan (SDA) dalam kategori ‘Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 15: Kehidupan di Darat’ untuk inisiatif utamanya, Inisiatif Burung Pungguk Jelapang untuk Pekebun Kecil (BOSI).

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dalam satu majlis yang menghimpunkan 30 finalis cemerlang di Kuching pada 21 September, 2025.

Dalam satu kenyataan, MPOGCF berkata BOSI menyokong pekebun kecil sawit dalam menggunakan burung hantu sebagai penyelesaian semula jadi dan mampan untuk menguruskan haiwan perosak.

Selain itu ia mengurangkan kebergantungan kepada racun perosak kimia yang secara langsungnya meningkatkan pemuliharaan biodiversiti dan melindungi ekosistem untuk generasi akan datang.

Pengurus Besar MPOGCF Hairulazim Mahmud berkata anugerah itu berfungsi sebagai pemangkin untuk projek-projek yang memberi manfaat kepada pihak berkepentingan dalam industri minyak sawit termasuk pekebun kecil, sambil meningkatkan imej kemampanan minyak sawit Malaysia.

"MPOGCF akan mengembangkan inisiatif BOSI melalui BOSI 2.0 yang akan melibatkan penyertaan lebih ramai pekebun kecil sawit," katanya.

Yayasan itu juga turut menyampaikan penghargaan kepada Dr Hasber Salim dan Kumpulan Penyelidikan Burung Hantu dan Tikus (BORG) di atas komitmen, inovasi dan kerja keras mereka terhadap BOSI yang telah banyak menyumbang kepada pertanian mampan dan pemuliharaan biodiversiti.

Inisiatif ini yang digerakkan oleh Junior Chamber International Malaysia, SDA mengiktiraf organisasi, syarikat dan institusi yang telah memberikan sumbangan besar ke arah memajukan SDG Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

-- BERNAMA