BERITA TERKINI   Perolehan Gamuda Bhd melonjak kepada RM4.30 bilion bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2026 daripada RM3.90 bilion bagi suku sama tahun kewangan 2025 | Untung bersih Gamuda Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2026 meningkat kepada RM229.52 juta daripada RM218.84 juta pada suku sama tahun kewangan 2025 | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM150 juta baik pulih Baraj Sungai Sarawak - PM Anwar | KSN, PETRA diminta teliti pendekatan menyeluruh atasi banjir, bekalan air di Sarawak - PM Anwar | Sultan Selangor titah rakyat bersabar tunggu pengumuman tarikh Aidilfitri, jangan percaya spekulasi - Istana Alam Shah | 

Kapasiti Tenaga Boleh Baharu Malaysia Dijangka Capai 31 Peratus Menjelang Disember

‎SHAH ALAM, 26 Sept (Bernama) -- Malaysia berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran tenaga boleh baharu (TBB), dengan TBB sudah menyumbang sebanyak 30 peratus dalam campuran tenaga, iaitu menghampiri matlamat 31 peratus yang ditetapkan pada akhir tahun, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata sejak pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kerajaan telah meluluskan penggunaan tambahan kira-kira 5.5 gigawatt dalam kapasiti TBB baharu, bernilai RM20 bilion. 

“Sejak pelancaran NETR pada Julai 2023, Malaysia telah mencapai kemajuan ketara dalam pelaksanaannya, menarik sekurang-kurangnya RM25 bilion pelaburan daripada kedua-dua sektor awam dan swasta.

“Kerajaan Persekutuan komited dengan dana pertumbuhan sebanyak RM2 bilion bagi projek pemangkin. Akta Kecekapan dan Kecekapan Tenaga 2024 telah diwartakan dan Rang Undang-Undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 telah diluluskan di Parlimen,” katanya.

Fadillah berkata demikian kepada media selepas pelancaran projek solar kediaman pertama negara di sini hari ini.

Projek solar kediaman di Bandar Elmina itu merupakan projek perintis Sime Darby Property, yang memperkenalkan model pajakan atas bumbung bagi membolehkan kediaman menjana tenaga solar tanpa pelaburan awal.  

Isi rumah yang mengambil bahagian akan menjana pendapatan menerusi pajakan ruang bumbung, seterusnya menyumbang kepada peralihan tenaga hijau di Malaysia. 

Projek tersebut adalah antara inisiatif awal di bawah Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Baharu Komuniti (CREAM), yang diperkenalkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air awal tahun ini, iaitu lanjutan inisiatif akses pihak ketiga bagi membekalkan tenaga elektrik hijau kepada pengguna.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata bahawa Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan campuran TBB kepada 35 peratus menjelang 2030, meningkat daripada 29 peratus ketika ini. 

Fadillah turut menekankan bahawa usaha berterusan termasuk perolehan loji fotovoltaik solar berskala besar dengan jumlah kapasiti 4,000 megawatt.

“Selain itu, Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) telah dilancarkan pada Julai 2024, membolehkan syarikat membekalkan atau mendapatkan bekalan tenaga elektrik hijau menerusi grid, sekali gus menyediakan mekanisme utama bagi penggunaan TBB.

“Secara keseluruhannya, NETR telah mencapai kemajuan yang boleh dipercayai merentas sektor,” tambahnya.

‎-- BERNAMA