BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Atlet Muay Thai negara Wassof Rujiman sambar pingat emas kategori 54kg lelaki | Sukan SEA 2025: Atlet menembak Gan Chen Jie raih pingat emas 50m Rifle 3 Position individu wanita | Sukan SEA 2025: Pesilat negara Muhammad Izzul Irfan menang emas kategori kelas D lelaki (60-65kg) | Sukan SEA 2025: Atlet Muay Thai negara Angie Yan Jia Chi raih emas acara Wai Kru Wanita | Sukan SEA 2025: Skuad kriket lelaki negara raih emas acara T10 | 

Negara-negara Asia Timur Cadang Inisiatif Untuk Kemakmuran Ekonomi Serantau

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Negara-negara Asia Timur (EPC) mencadangkan inisiatif untuk mengekalkan kemakmuran ekonomi rantau ini dalam persekitaran ketidaktentuan global, kata Menteri Perdagangan dan Pelancongan Australia Don Farrell.

“Kita berada dalam keadaan dunia yang tidak menentu ketika ini, justeru kita perlu berimaginasi dari segi perkara yang kita lakukan untuk memastikan kemakmuran rakyat setiap negara,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-13 hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menekankan bahawa perdagangan barangan dua hala ASEAN dengan negara yang tidak menyertai EAS ASEAN berjumlah US$1.9 trilion pada 2024.

Pada masa sama, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke ASEAN daripada negara-negara bukan ASEAN yang tidak menyertai EAS berjumlah US$92.8 bilion.

“Angka-angka ini mengesahkan kepentingan EPC sebagai rakan kongsi ekonomi dipercayai ASEAN dan menyerlahkan potensi besar untuk meningkatkan perdagangan, pelaburan dan ketersambungan rakyat dengan rakyat di seluruh rantau ini,” katanya dalam ucapan perasmian pada mesyuarat EAS.

Tengku Zafrul berkata para menteri bertukar-tukar pandangan mengenai prospek ekonomi serantau dan global untuk 2026 dan membincangkan mengenai memajukan integrasi ekonomi dipacu alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) di bawah Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026–2030.

Mereka (menteri-menteri) juga telah mengkaji perkembangan ekonomi terkini dan implikasinya terhadap agenda perdagangan, pelaburan dan integrasi ASEAN, katanya.

Sebanyak 18 negara menyertai Sidang Kemuncak Asia Timur iaitu sepuluh negara anggota ASEAN serta Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Rusia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

-- BERNAMA