BERITA TERKINI   PM Anwar akan hubungi Presiden Mesir bagi bincang laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui sempadan Rafah | PM Anwar bangga perjuangan dan pengorbanan 23 aktivis Malaysia yang sertai GSF, cipta sejarah negara | Turkiye akan bantu proses bawa pulang sembilan peserta Freedom Flotilla Coalition yang ditahan oleh Israel - PM Anwar | FFC: Wisma Putra sudah hubungi Turkiye dan Amerika Syarikat untuk segerakan usaha bawa keluar sembilan rakyat Malaysia ditahan Israel- Mohamad Hasan | 

AEM-USTR Sokong Usaha USABC-ASEAN Majukan Integrasi Ekonomi Digital

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Perundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN-Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AEM-USTR) menyatakan sokongan terhadap kerjasama berterusan antara Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC) dan ASEAN, khususnya dalam memperkukuh penglibatan dalam ekonomi digital.

Sokongan itu termasuk inisiatif pembangunan kapasiti untuk menyokong pembangunan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan aktiviti yang bertujuan meningkatkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam ekonomi digital.

Dalam kenyataan bersama pada Khamis, AEM-USTR turut mengulangi minat untuk terlibat secara konstruktif bagi mengukuhkan rantaian bekalan serantau yang berdaya tahan dan memacu inisiatif inovatif ke arah hubungan ekonomi yang saling bermanfaat.

Mesyuarat itu juga mengiktiraf kepentingan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai forum untuk menangani isu perdagangan, selain menyatakan bahawa peraturan yang ditetapkan pertubuhan itu adalah penting dalam memudahkan perdagangan global.

“Mesyuarat itu turut mengambil maklum WTO menghadapi cabaran dan memerlukan pembaharuan yang berkesan, perlu dan menyeluruh untuk mempertingkatkan semua fungsinya melalui pendekatan inovatif supaya pertubuhan itu lebih relevan dan responsif terhadap realiti masa kini,” menurut kenyataan bersama itu.

Mesyuarat itu juga mengenal pasti komitmen berterusan Timor-Leste terhadap pelan hala tuju untuk keanggotaan penuhnya dalam ASEAN di samping mengharapkan langlkah pemenuhan yang lengkap serta berkesan terhadap semua kriteria yang telah ditetapkan dalam pelan tersebut.

“Mesyuarat mengesahkan semula sokongan terhadap usaha integrasi Timor-Leste ke dalam ASEAN dan menyatakan kesediaan untuk terus menyediakan bantuan pembangunan kapasiti dan teknikal bagi memudahkan kemasukannya secara efektif ke dalam ekonomi serantau,” tambah kenyataan itu.

Mesyuarat perundingan itu telah dipengerusikan bersama oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Jamieson Greer semalam.

-- BERNAMA