BERITA TERKINI   Unit MN Holdings raih kontrak projek pencawang pusat data bernilai RM216 juta di selatan Semenanjung Malaysia | Jumlah rizab LTAT meningkat 29.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.31 bilion berbanding RM1.01 bilion pada tahun kewangan 2024 | LTAT catat RM749.49 juta dalam pendapatan pelaburan bagi tahun kewangan 2025, keuntungan boleh agih berjumlah RM541.56 juta. | LTAT isytihar dividen 5.35 peratus, RM524.74 juta bagi tahun kewangan 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun | Ekonomi Malaysia masih menunjukkan daya tahan yang kukuh walaupun berdepan cabaran geopolitik global - Akmal Nasrullah | 

AEBF-25: Platform Penting Untuk Peralihan Tenaga

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) akan diadakan dari 15 hingga 17 Okt 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dihoskan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan dianjurkan Pusat Tenaga ASEAN (ACE), forum itu bertemakan “Powering ASEAN: Bridging Boundaries, Building Prosperity”.

Acara itu bakal menjadi dialog tenaga yang memberikan impak besar dalam sejarah rantau ini. 

Pengerusi AEBF-25 Dr Andy Tirta berkata acara tersebut mengetengahkan bahawa dengan lonjakan permintaan terhadap tenaga dan keperluan mendesak untuk menangani isu perubahan iklim, rantau ini beralih daripada dialog kepada tindakan segera.

“Di sinilah AEBF-25 berperanan sebagai platform untuk memudah cara dialog tersebut dan menjadi teras utama dalam kerjasama tenaga ASEAN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada acara itu, AEBF-25 akan mengetengahkan kepengerusian Malaysia dalam pencapaian tenaga, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) Grid Tenaga ASEAN (APG) yang dipertingkatkan dan Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA).

Ia turut termasuk pelancaran kitaran baharu Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2026-2030.

“Ini juga merupakan platform untuk mempertingkat penglibatan sektor awam dan swasta (PPE). Bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43, AEBF-25 menjadi platform untuk menghubungkan kerajaan dengan sektor swasta dan pihak berkepentingan tenaga lain untuk mencapai sasaran serantau.

“Ini adalah satu-satunya platform yang dapat menghimpunkan kesemua 10 menteri tenaga ASEAN di satu tempat serta rakan dialog lain dari luar ASEAN. Ia menarik minat pihak berkepentingan tenaga lain untuk berhimpun dan berkongsi amalan terbaik,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif ACE Datuk Razib Dawiid berkata forum itu menghimpunkan pakar dalam bidang tenaga dari ASEAN dan luar ASEAN untuk memastikan peralihan tenaga bukan sahaja mampan malah adil dan inklusif.

“AEBF, sebagai persidangan dan pameran antarabangsa akan melambangkan perpaduan itu sebagai sebuah forum yang memudah cara pertukaran, kerjasama dan pelaburan untuk menyokong aspirasi tenaga ASEAN,” katanya.

-- BERNAMA