BERITA TERKINI   Kelayakan Piala Asia 2027: Laos 0-3 Malaysia | FFC x TMTG : Beberapa sukarelawan Malaysia dikasari termasuk ditendang, ditampar atau dicengkam secara agresif oleh rejim Israel - CEO MyCARE | Perkhidmatan tren LRT antara Stesen Universiti dan Abdullah Hukum alami gangguan bekalan kuasa, kerja baik pulih sedang dijalankan - RapidKL | PKS perlu terima pakaiĀ teknologi baru muncul seperti AI, robotik dan automasi, pengkomputeran kuantum, IoT dan Gen-AI untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan global - Tengku Zafrul | 

Malaysia Raih Pujian AS Selaku Pengerusi ASEAN 2025

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Jamieson Greer memuji kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

Bercakap kepada media selepas mengetuai rundingan antara Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dan AS, beliau memuji kepimpinan dan layanan mesra Malaysia dalam mengemudi blok serantau yang terdiri daripada 10 negara sepanjang mesyuarat berkenaan setakat tahun ini.

“Kami amat berpuas hati dengan layanan mesra yang diberikan. Malaysia telah menunjukkan kepimpinan yang hebat sebagai Pengerusi ASEAN,” kata Greer di luar mesyuarat AEM Ke-57 hari ini.

Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan pengerusi selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Dalam ucapan pembukaannya sebelum ini, Greer menyampaikan penghargaannya kepada Pengerusi AEM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di atas pendekatan pragmatik dan kepimpinan mantap beliau sepanjang Malaysia memegang jawatan pengerusi dalam mesyuarat AEM dengan rakan dialog.

Beliau berkata: “ASEAN telah dilayan dengan baik menerusi kepimpinan Malaysia, terutamanya oleh Menteri Zafrul. Saya berbesar hati berada di sini di Kuala Lumpur bagi pihak AS."

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata ASEAN dan AS telah mengadakan perbincangan yang konstruktif dan produktif mengenai perdagangan dan pelaburan semasa rundingan AEM-USTR dan rantau ini menantikan penglibatan berterusan dari Washington.

Sebelum ini pada 9 September, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa Presiden AS Donald Trump akan melawat Malaysia bulan depan untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.

Anwar berkata Trump telah menghubunginya untuk menyampaikan hasrat beliau menghadiri sidang kemuncak itu.

-- BERNAMA