BERITA TERKINI   Pelantikan MB Perlis baharu diharap dapat hentikan segala tohmahan, spekulasi dan tuduhan - Raja Perlis | Pelantikan MB Perlis baharu diharap dapat hentikan segala tomahan, spekulasi dan tuduhan - Raja Perlis | Semua ADUN PN di Perlis dititah kembali bersatu demi kepentingan rakyat dan negeri - Raja Perlis | Semua ADUN PN di Perlis dititah kembali bersatu demi kepentingan rakyat dan negeri - Sultan Perlis | ADUN Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah angkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu | 

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar As Didorong Ketidaktentuan Penurunan Kadar Fed

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Ringgit terus ditutup rendah berbanding dolar AS pada Rabu, dengan ketidaktentuan mengenai hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memberi tekanan kepada mata wang tempatan.

Pada 6 petang, mata wang tempatan rendah kepada 4.2120/2170 berbanding dolar AS daripada 4.1985/2000 pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata petunjuk bercampur-campur daripada pegawai Fed terus menyokong dolar AS.

“Dolar AS-ringgit melepasi paras RM4.20 berikutan Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.16 peratus kepada 97.419 mata,” katanya kepada Bernama, sambil menambah ini memberi tekanan kepada ringgit dan mata wang serantau lain.

Pada penutup dagangan, ringgit kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali yen Jepun.

Ia mengukuh kepada 2.8400/8436 berbanding yen Jepun daripada 2.8441/8453 semasa ditutup pada Selasa, bagaimanapun merosot kepada 5.6761/6828 berbanding pound daripada 5.6701/6721 dan berkurangan kepada 4.9567/9626 berbanding euro daripada 4.9546/9564 sebelum ini.

Mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat kepada 13.1572/1781 berbanding baht Thailand daripada 13.1900/2001, bagaimanapun rendah kepada 3.2743/2784 berbanding dolar Singapura daripada 3.2724/2738 dan merosot kepada 252.4/252.8 berbanding rupiah Indonesia daripada 251.5/251.8. 

Ia mendatar berbanding peso Filipina kepada 7.33/7.34 daripada 7.33/7.33 semalam.

-- BERNAMA