HDC Umum Peluasan BerryPay Ke Pasaran Algeria
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Halal Development Corporation Bhd (HDC) hari ini mengumumkan pengembangan firma teknologi kewangan (fintech) Malaysia, BerryPay (M) Sdn Bhd ke pasaran Algeria menerusi kerjasama strategik dengan DIGITEC, anak syarikat ABD Invest Algeria Group.
HDC, agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyifatkan langkah ini selari dengan mandat mereka untuk memperkasa ekonomi halal Malaysia dan menyokong syarikat tempatan menembusi pasaran global.
Pengasas BerryPay Azrin Hadi Abdullah berkata Algeria dipilih sebagai destinasi pertama syarikat itu di rantau Afrika Utara berdasarkan kekuatan asas ekonominya serta potensi besar dalam sektor kewangan Islam.
“Algeria merupakan pasaran baharu yang belum diteroka sepenuhnya. Ekonominya masih berteraskan transaksi tunai dengan jumlah populasi sekitar 50 juta, majoritinya terdiri daripada golongan muda dan sedang menuju arus kemodenan,” katanya kepada Bernama selepas pengumuman tersebut.
Beliau berkata peluasan ke Algeria itu juga melengkapi kehadiran BerryPay di Dubai, sekali gus menjadikan negara itu sebagai pintu masuk strategik ke rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).
Berhubung perancangan pelaburannya, BerryPay menetapkan unjuran pertumbuhan selama lima tahun di Algeria, kata Azrin Hadi.
“Kami menyasarkan nilai pelaburan dalam lingkungan dua digit jutaan dolar dalam tempoh lima tahun akan datang. BerryPay juga merupakan antara tiga atau empat penerima lesen terawal daripada Bank Pusat Algeria,” katanya.
Jelas beliau, rancangan pengembangan masa depan BerryPay turut merangkumi Arab Saudi, khusus bagi menyokong perkhidmatan tanpa tunai untuk jemaah Umrah dan Haji serta pasaran Eropah seperti Sepanyol dan Perancis yang mempunyai populasi Muslim yang besar.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif ABD Invest Group Abdelhak Bousbia berkata kerjasama ini hadir tepat pada masanya ketika hubungan ekonomi antara Algeria dan Malaysia semakin erat.
“Pasaran Algeria kini sedang berkembang pesat dari segi teknologi, dan dengan budaya Islam dan halal yang kita kongsi bersama, Malaysia disifatkan rakan paling relevan. Melalui kerjasama ini, BerryPay akan menyediakan penyelesaian fintech bagi merapatkan jurang teknologi dan pengetahuan antara kedua-dua negara,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffien Sahari berkata kerjasama ini mencerminkan usaha Malaysia memperluas jejak ekonomi halal ke peringkat global.
“Ia selaras dengan peranan HDC dalam membuka pintu kepada syarikat Malaysia untuk meneroka pasaran baharu, sambil menyumbang kepada agenda transformasi digital Algeria,” katanya.
Eksport halal Malaysia ke Algeria mencatatkan peningkatan sebanyak 24 peratus pada 2024 kepada RM156.3 juta, dipacu oleh sektor makanan dan minuman, kosmetik, ramuan halal dan derivatif minyak sawit.
-- BERNAMA