BERITA TERKINI   Kekangan logistik, keperluan latihan faktor utama PRN Johor dan Negeri Sembilan tidak diadakan serentak - SPR | PRN Johor: Seramai 2,727,926 individu layak mengundi - SPR | PRN Negeri Sembilan: Seramai 889,490 individu layak mengundi - SPR | PRN Negeri Sembilan diadakan pada 1 Ogos, penamaan 18 Julai - SPR | 216 penggiat industri kreatif terima sumbangan berjumlah RM164,256 menerusi program Ziarah Seni MADANI FINAS sejak 2023 - Teo | 

Ringgit Rendah Berbanding Dolar AS Menjelang Pengumuman KDNK Suku Pertama

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Ringgit mengakhiri kenaikan selama tujuh hari dagangan berturut-turut apabila rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan peniaga berhati-hati menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2026 hari ini.

Pada 8 pagi, ringgit dibuka rendah kepada 3.9320/9370 berbanding dolar AS daripada 3.9300/9330 semasa ditutup pada Khamis walaupun diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan hari ini adalah pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2026 Malaysia, dengan kebanyakan ahli ekonomi menganggarkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus.

“Oleh itu, ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati,” katanya kepada Bernama dalam jangkaan bahawa data tersebut dapat meningkatkan mata wang tempatan.

Mohd Afzanizam berkata Indeks Dolar AS naik 0.36 peratus kepada 98.874 mata selepas data jualan runcit AS pada April 2026 menunjukkan perbelanjaan pengguna kekal kukuh.

Pada sesi pembukaan, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4823/4856 daripada 2.4886/4907, mengukuh berbanding pound kepada 5.2646/2712 daripada 5.3094/3135 dan naik berbanding euro kepada 4.5855/5913 daripada 4.6009/6044 semasa ditutup pada Khamis.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0798/0842 daripada 3.0867/0893 semasa ditutup pada Khamis dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.1171/1392 daripada 12.1506/1652 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 224.3/224.7 daripada 224.1/224.4 semalam dan menurun berbanding peso Filipina kepada 6.38/6.39 daripada 6.37/6.38 sebelum ini.

-- BERNAMA