BERITA TERKINI   APG 2025: Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin raih emas pertama Malaysia dalam ujian masa berbasikal lebuh raya individu | Dasar Industri Pertahanan Negara tumpu pemantapan ekosistem, rantaian bekalan, daya saing global dan eksport - PM Anwar | APG 2025: Skuad bola keranjang kerusi roda 3x3 lelaki negara raih pingat pertama kontinjen Malaysia, menang pingat gangsa | Dasar Industri Pertahanan Negara langkah strategik bangunkan industri pertahanan tempatan, kurangkan kebergantungan pihak luar - Mohamed Khaled | Dewan Rakyat: Sebanyak 12,509 permohonan dokumen pengenalan diri di Sarawak diselesaikan setakat ini - Saifuddin Nasution | 

Farm Fresh Harap Belanjawan 2026 Kekal Perbelanjaan Penting, Perhalus Cukai Gula

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Syarikat produk tenusu yang beribu pejabat di Johor, Farm Fresh Bhd berharap Belanjawan 2026 akan mengekalkan pendanaan bagi menyokong perbelanjaan isi rumah untuk barangan keperluan di samping menyelesaikan dasar berkaitan kesihatan seperti cukai gula.

Ketua Pegawai Kewangan (CFO) kumpulan Mohd Khairul Mat Hassan berkata inisiatif seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu program bantuan sekali beri telah memberikan manfaat dalam memastikan rakyat Malaysia terutama isi rumah berpendapatan rendah mempunyai lebih banyak kuasa berbelanja bagi keperluan asas.

"Kami memberi tumpuan kepada barangan keperluan terutama susu untuk pemakanan. Lebih banyak inisiatif disasarkan yang menyalurkan sumber kepada keperluan penting akan memberi kebaikan kepada pengguna dan industri," katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Kepimpinan Kemampanan CFO ASEAN di sini hari ini.

Mengenai cukai gula, Mohd Khairul berkata pendekatan yang lebih luas dan berstruktur diperlukan untuk memastikan perubahan tingkah laku dalam kalangan pengguna.

"Ini bukan sahaja mengenai sukrosa;gula tersembunyi seperti maltodekstrin juga perlu dipertimbangkan. Kerangka pengawalseliaan yang wajar melibatkan Kementerian Kesihatan, industri makanan dan sistem cukai akan memastikan dasar itu memberikan kesan yang sepatutnya," katanya.

Kerajaan dijadual membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober.

-- BERNAMA