BERITA TERKINI   Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | Pelabuhan Klang catat peningkatan jumlah pengendalian kontena sebanyak 3.4 peratus kepada 15.14 juta TEUs pada 2025, berbanding 14.64 juta TEUs pada 2024 | Permohonan fasa satu Dana Inovasi Media dibuka bermula 1 hingga 14 Jan ini - Kementerian Komunikasi | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Jangkaan Eksport Mengukuh

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives pulih untuk ditutup lebih tinggi pada Selasa, dipacu oleh jangkaan eksport yang lebih kukuh dan pertumbuhan pengeluaran yang lebih perlahan.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata sentimen pasaran disokong oleh unjuran pengeluaran yang lembap sekali gus memberikan sokongan kepada komoditi berkenaan.

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,400 satu tan dan paras rintangan pada RM4,580 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Firma pemeriksa kargo, Intertek Testing Services menganggarkan eksport minyak sawit Malaysia bagi Ogos sebanyak 1.42 juta tan, meningkat 10.22 peratus berbanding Julai.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta September 2025 naik RM75 kepada RM4,383 satu tan manakala kontrak Oktober 2025 menokok RM91 kepada RM4,438 satu tan dan kontrak November 2025 melonjak RM96 kepada RM4,476 satu tan.

Kontrak Disember 2025 berkembang sebanyak RM91 kepada RM4,499 satu tan, Januari 2026 bertambah RM84 kepada RM4,509 satu tan dan Februari 2026 pula meningkat RM80 kepada RM4,497 satu tan.

Jumlah dagangan susut kepada 59,839 lot berbanding 77,969 lot pada Jumaat manakala kepentingan terbuka naik kepada 254,494 kontrak daripada 253,380 kontrak.

Harga fizikal MSM untuk September Selatan menokok RM50 kepada RM4,420 satu tan.

Pasaran ditutup semalam bagi menggantikan cuti umum Hari Kebangsaan.

-- BERNAMA