BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Tarik Lebih Banyak Pelaburan, Wujud Hab Logistik Sepanjang Laluan ECRL - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Kerajaan merancang untuk menarik lebih banyak pelaburan selain mewujudkan hab logistik serta taman perindustrian baharu di sepanjang laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ia akan dilaksanakan menerusi inisitiaf Projek Pemecut Ekonomi (EAP).

"Projek ECRL ni lebih dari sekadar rel; ia merupakan pemangkin ekonomi untuk Pantai Timur. 

"Semua usaha ini untuk memastikan ECRL bukan saja memudahkan pergerakan, tapi juga menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Insya-Allah, kita akan terus memantau dan memastikan projek ini dapat memberi manfaat maksimum kepada negara," kata beliau menerusi satu hantaran di X hari ini.

Terdahulu, Tengku Zafrul merupakan sebahagian daripada delegasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tianjin, China yang bertemu dengan China Communications Construction Company Limited (CCCC) hari ini.

CCCC merupakan kontraktor utama ECRL.  

Beliau berkata antara topik yang dibincangkan dengan CCCC termasuk mengenai kemajuan projek berkenaan.

"Alhamdulillah, kemajuan ECRL sudah mencapai 85 peratus setakat Julai 2025. Kita berada di landasan yang tepat untuk menyiapkan Fasa 1 projek ini pada Januari 2027.

"Terowong Genting yang merupakan terowong rel terpanjang di Asia Tenggara juga sudah ditembusi pada Julai lepas. Semuanya berjalan lancar," kata Tengku Zafrul.

-- BERNAMA