BERITA TERKINI    PM Anwar tiba di hotel di Gyeongju pada pukul 9.05 malam waktu tempatan bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC | PM Anwar tiba di Pangkalan Udara Gimhae, Busan, pada 7.41 malam | Kekerapan gangguan Aerotrain KLIA tidak boleh diterima, MAHB bertanggungjawab terhadap sebarang masalah teknikal - Loke | MoT tubuh kumpulan kerja khas, selaras tindakan jadikan KLIA hab kargo udara, pusat pemunggahan serantau - Loke | China menyatakan akan bekerjasama dengan AS untuk menghentikan aliran masuk fentanyl ke negara itu, yang dapat membantu AS menangani krisis kesihatannya - Donald Trump | 

Untung Bersih Takaful Malaysia Susut Kepada RM83.82 Juta Pada Suku Kedua 2025

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) mengecil kepada RM83.82 juta pada suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2025 daripada RM93.10 juta pada suku kedua 2024.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, perolehan meningkat kepada RM1.01 bilion daripada RM998.07 juta sebelumnya, disumbangkan terutamanya oleh perniagaan Takaful Keluarga.

Mengenai prospek, Takaful Malaysia menjangkakan permintaan terhadap takaful dan insurans akan kekal kukuh memandangkan masih wujud jurang perlindungan yang berterusan.

“Perniagaan teras kumpulan dalam Bancatakaful, Perbendaharaan, Faedah Pekerja dan Takaful Am merupakan pemacu utama kejayaan kami sebagai peneraju dalam industri Takaful dan kami terus melihat permintaan yang baik dalam segmen-segmen ini,” katanya.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, keuntungan bersih syarikat berkurang kepada RM178.36 juta daripada RM195.40 juta dalam separuh pertama 2024 manakala perolehan berkembang kepada RM2.14 bilion daripada RM1.96 bilion sebelumnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nor Azman Zainal berkata dengan perniagaan teras yang diperkukuh, syarikat berada dalam kedudukan yang baik untuk mengharungi baki tahun ini dengan penuh ketangkasan.

“Inovasi berteraskan pelanggan, pemerkasaan digital serta integrasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan terus menjadi tunjang strategi kami bagi menyampaikan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan sambil menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi Malaysia dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

-- BERNAMA