BERITA TERKINI   Pimpinan tinggi agensi penguatkuasaan diberi tempoh seminggu nyata kesediaan pikul amanah atau tukar ke jawatan lain - PM Anwar | PM Anwar beri amaran keras kepada pihak berkuasa, kesal masih wujud kelemahan tatakelola dalam negara | Peralihan sistem MyNIISe, MyBorderPass dan MyDigitalID kepada satu sistem tunggal di pintu masuk negara dijangka bermula tahun ini – Saifuddin Nasution | Kes libatkan pegawai tertinggi ATM: MINDEF tidak akan lindungi sesiapa, beri kerjasama penuh pastikan siasatan bebas, telus - Mohamed Khaled | Semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM 2025-2029 secara kolektif dan sukarela letak jawatan serta-merta hari ini - FAM | 

Keuntungan Bersih Suku Kedua 2025 MR DIY Meningkat Kepada RM158.58 Juta

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih MR DIY Group (M) Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 meningkat kepada RM158.58 juta daripada RM155.21 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Kumpulan itu berkata hasil bagi suku tersebut turut naik sebanyak 1.2 peratus kepada RM1.21 bilion berbanding RM1.2 bilion sebelumnya 

“Prestasi yang bertambah baik itu disumbang daripada pembukaan kedai baharu iaitu sebanyak 31 kedai pada suku tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kedai kami sebanyak 1,502 kedai setakat Separuh Pertama 2025, peningkatan sebanyak 12.1 peratus tahun ke tahun.

“Pertumbuhan ini disokong daripada asas yang tinggi pada Suku Kedua 2024, yang mendapat manfaat daripada musim perayaan Hari Raya,” kata peruncit perkakas rumah itu menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Jumlah transaksi meningkat 5.0 peratus tahun ke tahun kepada 48.5 juta, sebahagiannya diimbangi oleh penurunan 3.3 peratus dalam unit setiap transaksi terutamanya disebabkan oleh item yang sedikit bagi setiap transaksi.

Mengenai prospek, MR DIY berkata kumpulan itu tidak menjangkakan turun naik pasaran yang berpunca antara lainnya daripada ketegangan geopolitik, pelarasan tarif dan perubahan dasar domestik, termasuk semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan memberi kesan ketara terhadap operasi perniagaannya.

“Pada masa hadapan, kumpulan akan terus mengembangkan operasi runcit kami dengan membuka kedai baharu pada 2025.

“Usaha ini bertujuan untuk mengukuhkan penerajuan pasaran kumpulan dan kedudukan kami sebagai peruncit pilihan rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, MR DIY mengumumkan dividen interim sebanyak 1.5 sen sesaham biasa berjumlah RM142.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025, yang akan dibayar pada 8 Sep 2025.

Ini menjadikan pembayaran dividen bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 berjumlah RM274.7 juta.

Ketua pegawai eksekutif MR DIY Adrian Ong berkata kumpulan itu telah meningkatkan pembayaran dividennya secara berterusan selama ini untuk memberikan pulangan tunai yang kukuh kepada para pemegang saham.

"Rekod prestasi kami yang konsisten sejak penyenaraian kami pada 2020 mencerminkan komitmen ini. Disokong oleh aliran tunai operasi bersih yang teguh dan prestasi kewangan yang kukuh, kami telah berjaya melepasi sasaran pembayaran 50 peratus hingga 65 peratus sambil terus melabur dalam pertumbuhan," katanya.

-- BERNAMA