BERITA TERKINI   Cuaca panas berterusan: IPTA dibenarkan buat keputusan laksanakan PdP secara dalam talian - Zambry | Polis belum terima laporan dakwaan Victor Chin berkaitan Ahli Parlimen minta bayaran RM10 juta bagi bantu selesai isu manipulasi korporat - Bukit Aman | Capital A lantik Effendy Shahul Hamid sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 6 April | Capital A sedang teroka potensi dwipenyenaraian di Hong Kong pada suku ketiga 2026, dan teruskan rancangan untuk senaraikan AirAsia NEXT di Amerika Syarikat menjelang akhir tahun - Tony Fernandes | Capital A sasar keluar daripada status PN17 selepas catat untung empat suku tahunan berturut-turut - Tony Fernandes | 

Rangkaian Keselamatan AI ASEAN Disasar Diterima Pakai Pemimpin Pada Sidang Kemuncak ASEAN Pada Oktober 

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Satu deklarasi mengenai penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (ASEAN AI Safe) disasarkan akan diterima pakai oleh para pemimpin pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Beliau berkata ini merupakan langkah penting ke arah menginstitusikan keselamatan, etika dan prinsip tadbir urus AI seperti yang dipersetujui oleh Menteri-Menteri Digital ASEAN selain menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju AI Bertanggungjawab ASEAN.

“Penubuhan ASEAN AI Safe sejajar dengan gesaan global bagi mewujudkan rangkaian antarabangsa untuk menangani risiko keselamatan AI melalui kerjasama antara kerajaan, ahli akademik dan industri.

“ASEAN AI Safe menggariskan komitmen terhadap pembangunan AI yang bertanggungjawab dan menantikan penubuhan rasmi rangkaian itu pada awal 2026,” katanya dalam ucapan pada Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia 2025 hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan AI buatan Malaysia yang dikenali sebagai ‘ILMU’, yang dihasilkan oleh YTL AI Labs dengan kerjasama Universiti Malaya.

Selain itu, Kao berkata walaupun berlaku ketidaktentuan berterusan dalam perdagangan global, dunia sedang menyaksikan pertumbuhan AI yang transformatif dalam membentuk semula setiap aspek ekonomi, masyarakat dan kehidupan seharian.

Justeru, katanya, Sidang Kemuncak AI ASEAN yang pertama itu menyediakan peluang tepat pada masanya bagi meningkatkan kerjasama serantau dan membina kepercayaan strategik merangkumi visi bersama dalam inovasi dan pembangunan inklusif sebagai panduan kepada kerjasama kolektif ke arah era baharu transformasi digital.

Kao berkata AI dijangka menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar sebanyak 10 hingga 18 peratus, bersamaan dengan hampir US$1 trilion menjelang 2030.

Selain itu, katanya, tahun ini, ASEAN memberi keutamaan kepada Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) untuk membina ekosistem digital serantau, yang berpotensi menggandakan unjurannya kepada US$2 trilion menjelang 2030.

-- BERNAMA