BERITA TERKINI   MCMC turunkan 159 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global di pelbagai platfom media sosial dalam tempoh empat hari sejak 29 Mac - Fahmi | Piala Malaysia: Kuala Lumpur City FC 0-4 Johor Darul Ta'zim | Seramai 17 individu disiasat MCMC dipercayai sebar maklumat palsu di media sosial berkaitan krisis tenaga global - Teo Nie Ching | 

KAF Digital Bank Lantik Suzaini Mukhtar Sebagai CEO

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- KAF Digital Bank Bhd mengumumkan pelantikan Suzaini Mukhtar sebagai ketua pegawai eksekutifnya (CEO) berkuat kuasa 1 Feb, 2026.

Bank itu berkata Suzaini yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan CEO pada akhir 2025 akan mengambil alih pasukan kepimpinan pengasas apabila KAF Digital Bank memasuki fasa pertumbuhan komersial seterusnya.

"Dengan hampir 30 tahun pengalaman dalam perbankan Islam di Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu, pelantikannya menandakan peralihan strategik pada waktu bank ini mempertingkatkan penawaran digitalnya yang pertama dan patuh syariah," kata bank tersebut.

KAF Digital Bank berkata kepakaran Suzaini meliputi perbankan runcit, kekayaan dan korporat dengan rekod cemerlang dalam pendigitalan, inovasi produk dan rangkuman kewangan.

Sebelum menyertai bank berkenaan, Suzaini mengetuai deposit, pembayaran dan rangkuman kewangan di Bank Simpanan Nasional (BSN) selain memantau pengurusan prestasi jualan dan negeri, inisiatif rangkuman kewangan serta kiriman wang.

Beliau juga menerajui proses pengenalan dan penerimaan perbankan digital, pemasaran, inovasi produk, perubahan dan strategi perniagaan.

Suzaini pernah memegang jawatan kanan di Standard Chartered Saadiq, Emirates Islamic Bank di Dubai, HSBC Amanah dan Hong Leong Bank serta menerima pengiktirafan dan anugerah industri di atas kecemerlangan dalam perbankan.

-- BERNAMA