Kerajaan Selesai Bayar Balik Lebihan Cukai RM22.45 Bilion Pada 2025, Tertinggi Dalam Lima Tahun
KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kerajaan telah menyelesaikan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM22.45 bilion pada 2025, tertinggi dalam tempoh lima tahun, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Amir Hamzah berkata jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan RM56 bilion bayaran balik lebihan cukai yang telah dilunaskan kerajaan sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, meningkat 50 peratus berbanding RM37 bilion bagi tempoh 2020 hingga 2022.
Katanya, kerajaan memberi jaminan bayaran balik lebihan cukai bagi tahun taksiran 2023 dijangka selesai lebih awal daripada sasaran, iaitu menjelang Februari 2026, manakala tahun taksiran 2024 akan diselesaikan sepenuhnya sebelum hujung tahun ini.
“Sebahagian bayaran balik berjumlah RM7.5 bilion telah dibuat dalam Disember lepas, berbanding komitmen awal RM4 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Dis, 2025.
“Semua kes bagi tahun taksiran 2022 dan sebelumnya telah selesai pada 2025. Penyelesaian bayaran balik lebihan cukai ini melibatkan 3.7 juta kes pada 2025 berbanding 2.7 juta kes pada 2024,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan akan membayar pampasan sebanyak dua peratus setahun bagi sebarang kelewatan bayaran balik.
“Setakat ini, bayaran pampasan berjumlah RM23.6 juta telah dibuat bagi sebahagian bayaran balik yang diselesaikan pada 2025.
“Sebagai sebuah kerajaan yang amanah, komitmen terhadap pembayaran pampasan ini akan dipenuhi dan tidak akan dikompromi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah memberitahu kerajaan telah menyelesaikan semua tuntutan tunggakan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Apabila GST dimansuhkan pada 2018, jumlah tuntutan bayaran balik yang tertunggak mencecah RM19 bilion.
“Kesemua tuntutan telah dibayar balik, kecuali hanya sekitar RM30 juta yang tidak selesai atas sebab-sebab tertentu, antaranya tuntutan masih dibicarakan di mahkamah atau maklumat bayaran balik seperti akaun bank syarikat yang tidak lengkap,” kata beliau.
-- BERNAMA