BERITA TERKINI   Bursa sasar permodalan pasaran IPO RM28 bilion tahun ini daripada RM27.4 bilion pada 2025 dengan tumpuan kepada penyenaraian yang lebih besar dan berkualiti tinggi - Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia | Kerajaan sedang gubal Akta Keterjaminan Makanan Negara, asas perundangan kukuh pelihara kedaulatan makanan - TPM Fadillah | Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 pacu transformasi sektor agromakanan negara - TPM Fadillah | RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | 

Vivax-Metrotech Lancar Kemudahan Baharu Di Pulau Pinang Bernilai RM48 Juta

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Vivax-Metrotech Corporation (VXMT), peneraju global dalam teknologi pengesanan dan pemeriksaan utiliti termaju mengumumkan pelaburan RM48 juta untuk penubuhan kemudahan pembuatan baharu di Pulau Pinang yang mewujudkan 175 pekerjaan berkemahiran tinggi.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata kemudahan itu mempunyai 16 barisan pengeluaran untuk pemasangan dan operasi bilik bersih khusus, membolehkan syarikat berkenaan menghasilkan pelbagai teknologi berketepatan yang digunakan dalam telekomunikasi, air, gas dan utiliti elektrik.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pengembangan syarikat itu mengukuhkan lagi rantaian bekalan global VXMT sekali gus memperkukuh kehadirannya di Asia Tenggara.

“Pelaburan oleh Vivax-Metrotech Corporation ini tiba pada masa yang tepat ketika Malaysia memperkukuh keupayaan pembuatan berteknologi tinggi.

"Komitmen mereka ini sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13 yang menyokong matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

MIDA berkata ia akan terus memudahkan pertumbuhan VXMT di Malaysia, memastikan syarikat itu mendapat sokongan yang diperlukan untuk mengembangkan operasi mereka dan menyumbang kepada pembangunan industri Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi VXMT Christian Stolz berkata Malaysia telah terbukti sebagai destinasi menarik bagi syarikat itu untuk mengembangkan operasi di Asia Tenggara.

“Rekod prestasi Malaysia yang terbukti dalam menarik syarikat berteknologi tinggi terkemuka, digabungkan dengan kumpulan bakatnya yang berwawasan, komitmen luar biasa terhadap kualiti dan lokasi yang strategik, menjadikannya pilihan yang tepat untuk memperluaskan operasi pembuatan kami di rantau ini,” tambah beliau.

-- BERNAMA