BERITA TERKINI   Menara Merdeka 118 dilancarkan secara rasmi sebagai MD Nexus pertama di Malaysia - Gobind | Kementerian Digital fokus pada enam bidang berimpak untuk percepat transformasi digital pada separuh pertama 2026 - Gobind | Nilai ringgit kukuh kepada paras terbaik hampir 8 tahun pada RM3.92 berbanding dolar AS setakat 28 Jan 2026, kekal antara mata wang terbaik di Asia - Amir Hamzah | Pertumbuhan 2025 dianggarkan 4.9 peratus, perdagangan melebihi 6 peratus dan capai rekod tertinggi RM3 trilion - Amir Hamzah | Defisit 2025 dijangka capai sasaran 3.8 peratus dan turun kepada 3.5 peratus pada 2026 - Amir Hamzah | 

Saham MMM Akan Digantung, Bakal Dinyahsenarai Selepas Pelan Regularisasi Ditolak

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Dagangan saham MMM Group Bhd akan digantung mulai 7 Ogos, 2025 selepas Bursa Malaysia Securities Bhd menolak pelan regularisasi syarikat itu kerana gagal memenuhi peraturan di bawah Nota Amalan 17 (PN17) keperluan penyenaraian di Pasaran Utama.

MMM (sebelum ini dikenali sebagai Asia Media Group Bhd) berkata sahamnya juga akan dinyahsenarai pada 4 September, 2025, melainkan rayuan terhadap penolakan pelan regularisasi yang dicadangkan dan penyahsenaraian dikemukakan kepada Bursa Securities pada atau sebelum 29 Ogos (tempoh masa rayuan).

“Sebarang rayuan yang dikemukakan selepas tamat tempoh rayuan tidak akan dipertimbangkan oleh Bursa Securities,” kata agensi pemasaran itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

MMM berkata sekiranya ia dinyahsenarai, syarikat itu akan terus wujud tetapi sebagai entiti yang tidak tersenarai.

“Ia masih mampu meneruskan operasi dan perniagaannya, serta meneruskan penstrukturan semula korporat dan para pemegang saham masih berpeluang menerima ganjaran berdasarkan prestasi syarikat,” tambahnya.

Bagaimanapun, para pemegang saham akan memegang saham yang tidak lagi di sebut harga dan diniagakan di Bursa Securities, tetapi “kepentingan dan hak pemegang saham akan kekal dilindungi di bawah Akta Syarikat 2016,” katanya.

-- BERNAMA