Dua Syarikat Bumiputera Disasar Tersenarai Di Bursa Malaysia Menjelang Akhir Tahun - TPM Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) — Kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya dua syarikat Bumiputera akan tersenarai di Bursa Malaysia menjelang akhir tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Program Bumiputera Rapid Acceleration and Value Enhancment (BRAVE) dilancarkan hari ini akan menjadi game-changer (pencetus perubahan) bagi membina dan melonjakkan ekosistem keusahawanan Bumiputera ke arah merealisasikan sasaran itu.
Beliau berkata BRAVE akan menyediakan pembiayaan alternatif sehingga RM1 juta bagi syarikat Bumiputera berprestasi tinggi pada kadar keuntungan hanya 3.5 peratus, selain memperkenalkan pembangunan kapasiti menyeluruh bagi memastikan syarikat berupaya melonjak ke satu tahap lebih baik.
“Sebanyak 15 syarikat akan dipilih untuk fasa awal dan daripada jumlah itu, lima syarikat akan menerima bimbingan intensif untuk bersedia menembusi Bursa Malaysia menjelang akhir tahun ini,” katanya dalam ucapan sewaktu menyempurnakan peluncuran Program BRAVE di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata setakat tahun 2022, daripada sejumlah 945 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, hanya 62 daripadanya bersamaan sekadar tujuh peratus dimiliki majoriti Bumiputera.
“Lebih membimbangkan, sepanjang empat tahun kebelakangan, hanya satu syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan berbanding 96 syarikat bukan Bumiputera, ini cerminan realiti mendesak, kita tidak boleh terus berpuas hati dengan ‘status quo’ sebaliknya mesti keluar dari zon selesa dan mencipta perubahan.
“Untuk capai sasaran ini, latihan strategik seperti pengurusan pelabur, komunikasi korporat, strategi pertumbuhan pasca-IPO (Tawaran Awam Permulaan) penyediaan prospektus dan proses due diligence (usaha wajar) mesti dilaksanakan dengan penuh ketelitian, selain perkukuh kerjasama strategik bersama rakan industri,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), Ahmad Zahid berkata sektor berkenaan ketika ini merangkumi sejumlah 97.4 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia.
“Pada tahun 2023, sektor ini menyumbang lebih RM631.1 bilion kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara dan RM152.2 bilion kepada eksport, paling paling membanggakan, ia turut menyediakan lebih tujuh juta peluang pekerjaan untuk rakyat.
“Namun di sebalik kekuatan ini, PMKS kita masih dibelenggu tiga cabaran utama iaitu akses terhad kepada modal, daya saing yang lemah dan kekangan untuk naik ke liga seterusnya,” katanya.
Justeru beliau berharap program BRAVE yang diwujudkan akan turut menjadi pemecut atau catalyst berimpak tinggi kepada sektor berkenaan.
-- BERNAMA