BERITA TERKINI   GSF 2.0: Usaha diplomatik sedang digerakkan dengan negara serantau dan Turkiye untuk pembebasan aktivis - KP SNCC | Semua aktivis GSF 2.0 diculik dari kapal masing-masing bawah ancaman senjata - KP SNCC | GSF 2.0: Kesemua 50 buah kapal bawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas secara haram oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa - KP SNCC | Eksport naik 36.9 peratus tahun ke tahun kepada RM182.74 bilion pada April 2026, import meningkat 20 peratus kepada RM153.99 bilion, menjana lebihan dagangan RM28.75 bilion - MATRADEĀ  | Perdagangan Malaysia meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun pada April 2026, pertumbuhan paling pesat sejak September 2022, mencecah RM336.73 bilion - MATRADE | 

CGC Lantik Dua Pengarah Bukan Eksekutif Bebas

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) telah melantik Zaida Khalida Shaari dan Rohan Krishnalingam sebagai pengarah bukan eksekutif bebas baharunya, masing-masing berkuat kuasa 1 Jan serta 20 Jan 2026.

CGC melalui satu kenyataan hari ini memberitahu Zaida Khalida berpengalaman lebih 30 tahun dalam tadbir urus, pelaburan strategik dan transformasi organisasi.

Beliau telah memegang jawatan kepimpinan kanan di Khazanah Nasional Bhd, yang mana beliau menjadi pengarah eksekutif pelaburan, manakala di Permodalan Nasional, beliau berkhidmat sebagai ketua jabatan undang-undang dan setiausaha syarikat bersama.

“Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif Yayasan AMIR (diperbadankan oleh Khazanah Nasional) dan kini menduduki lembaga pengarah AEON Co (M) Bhd, MNRB Holdings, Pelaburan Hartanah Nasional serta RHB Islamic Bank, dan merupakan ahli Panel Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan),” katanya.

Sementara itu, CGC berkata bahawa Rohan mempunyai pengalaman kira-kira 30 tahun dalam perkhidmatan kewangan, dengan kepakaran luas dalam teknologi dan transformasi digital, pengurusan risiko teknologi, keselamatan siber, fintech termasuk penyampaian program teknologi berskala besar.

“Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai ketua pegawai digital dan teknologi kumpulan serta ketua pegawai operasi kumpulan di RHB Banking Group, yang mana beliau menerajui pendigitalan utama dan inisiatif pemodenan teknologi maklumat, selain menghabiskan lebih dua dekad dengan Accenture sebagai pengarah urusan (rakan kongsi kanan) teknologi perkhidmatan kewangan untuk rantau ASEAN.

“Beliau sekarang ini berkhidmat sebagai pengarah bukan-eksekutif bukan bebas Boost Bank,” katanya.

Dalam mengalu-alukan pengarah baharu, Pengerusi CGC Datuk Mohammed Hussein berkata pelantikan ini secara signifikan mengukuhkan kapasiti strategik lembaga CGC dengan pengalaman dan rangkaian kolektif serta pelengkap mereka bagi melaksanakan rancangan pertumbuhan CGC.

“Fokus utama kami adalah untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi tinggi, tulang belakang gelombang pertumbuhan ekonomi Malaysia yang seterusnya.

“Yang penting, pelantikan ini akan membantu kami merealisasikan sebahagian penting mandat kami untuk menjadi lebih inklusif: menjalin perkongsian yang lebih substantif dan partisipatif antara perniagaan Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam rantaian bekalan sektor-sektor fokus masa depan ini,” katanya.

-- BERNAMA