BERITA TERKINI   PRK Kinabatangan, Lamag: 93 peratus pengundi awal laksana tanggungjawab - SPR | PRK Kinabatangan, Lamag: pusat pengundian awal ditutup pada 5 petang ini - SPR | 

Ekonomi Global Kekal Tumbuh Walaupun Berdepan Cabaran Pada 2026 -- Standard Chartered

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi global dijangka kekal stabil pada tahun ini walaupun berdepan ketidaktentuan susulan risiko geopolitik yang ketara, ketiadaan aktiviti penghantaran awal serta peralihan dinamik inflasi di serata negara utama ekonomi.

Sehubungan itu, Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Pertukaran Asing (FX) ASEAN dan Asia Selatan Standard Chartered Edward Lee berkata pertumbuhan global diunjur dalam julat 3.3 peratus hingga 3.4 peratus, seiring dengan angka pada 2025 walaupun berlakunya peningkatan risiko.

“Angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) mungkin memberi gambaran tertentu, tetapi apa yang jelas ini bukan mudah berdasarkan perkembangan geopolitik membabitkan Venezuela dan Iran selain kemunculan semula ketegangan berkaitan perdagangan serta tarif,” katanya pada sidang media mengenai Unjuran Separuh Pertama 2026 Global dan Malaysia Standard Chartered di sini, hari ini.

Lee berkata pertumbuhan global pada tahun lepas misalnya tetap berlaku walaupun dalam keadaan tidak menentu, disokong oleh pelonggaran dasar monetari yang meluas, perbelanjaan fiskal yang kukuh di negara-negara maju, inflasi terkawal serta pasaran guna tenaga yang stabil.

“Sebanyak 150 penurunan kadar faedah berlaku di serata dunia, sokongan fiskal yang kukuh dari negara-negara maju, kadar pengangguran yang masih rendah serta pasaran tenaga kerja yang stabil,” katanya.

Beliau berkata sebahagian ketegangan itu dapat diimbangi oleh tempoh gencatan senjata dan penghantaran awal eksport ke Amerika Syarikat (AS) manakala pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) turut menyumbang kepada pertumbuhan.

“Pelaburan berkaitan AI juga memacu pertumbuhan global secara ketara. Sebagai contoh, banyak eksport elektronik dikaitkan dengan pusat-pusat data, pelayan dan cip yang jelas disokong oleh permintaan sebenar.

“Oleh itu, apabila semua ini diambil kira, walaupun dalam keadaan tidak menentu, asas-asas pertumbuhan itu secara relatifnya masih mantap. Tempoh memasuki tahun ini juga menyaksikan kesemua elemen positif itu terus memberi sokongan,” katanya.

Mengulas prospek masa depan, Lee menyifatkan keadaan monetari global kekal akomodotif dengan risiko terhad berlakunya sebarang langkah diperketatkan semula.

“Kami tidak yakin dasar lebih ketat akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini,” katanya sambil menambah tahap penurunan kadar faedah semakin menghampiri kitaran akhirnya.

Bersandarkan senario itu, beliau menjangkakan pihak Rizab Persekutuan AS tidak akan menurunkan lagi kadar faedah pada tahun ini ketika pertumbuhan terus berdaya tahan manakala tekanan inflasi terus mengekang tindakan pelonggaran dasar.

-- BERNAMA