Ketidaktentuan Tarif Pengaruhi Bursa Malaysia Minggu Depan
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Risiko tarif Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi ke atas Malaysia apabila tarikh akhir 1 Ogos semakin hampir mungkin akan mempengaruhi Bursa Malaysia minggu depan walaupun kaunter berorientasikan domestik dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan dalaman yang kukuh dan kesan positif fiskal.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata ketidaktentuan dijangka berlaku apabila pasaran menghampiri titik perubahan kritikal dalam dasar perdagangan global.
"Kaunter berorientasikan domestik di Bursa Malaysia diunjurkan kekal berdaya tahan. Bagaimanapun, sektor dipacu eksport mungkin terus menghadapi tekanan sekiranya tiada penyelesaian yang menggalakkan kepada rundingan tarif," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai jadual tarif AS yang disemak semula untuk Malaysia.
"Sekiranya Malaysia berjaya memperoleh kadar di bawah 20 peratus, kami menjangkakan minat pelabur akan kembali khususnya dalam sektor pembuatan dan elektrik dan elektronik. Setakat ini, kebanyakan pelabur dijangka menggunakan pendekatan tunggu dan lihat, mengutamakan pemeliharaan modal berbanding pengambilan risiko," katanya.
Di peringkat serantau, tumpuan pasaran beralih ke arah diplomasi perdagangan antara AS dan China yang diadakan semula kerana Naib Perdana Menteri China He Lifeng bersedia untuk mengetuai rundingan peringkat tinggi di Sweden dari 27 hingga 30 Julai depan menjelang tempoh penangguhan 90 hari ke atas China dijadualkan tamat pada 12 Ogos.
"Hasil rundingan itu akan memainkan peranan penting dalam membentuk sentimen perdagangan serantau dan kedudukan pasaran yang lebih luas menjelang Ogos," kata Mohd Sedek.
Di peringkat global, pelabur tetap tertumpu pada kalendar makroekonomi AS yang padat terutamanya dengan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang akan datang pada 30 Julai, inflasi keseluruhan Perbelanjaan Penggunaan Peribadi Jun dan senarai gaji bukan ladang Julai yang akan memberi petunjuk dasar penting.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata peserta pasaran akan menumpukan perhatian mereka kepada Indeks Pengurus Pembelian Julai China serta Indeks Harga Pengguna Eurozone.
Bagi minggu yang baru berakhir, keyakinan yang dirangsang oleh "pakej penghargaan" Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keyakinan semula dalam sokongan fiskal tempatan telah meningkatkan utiliti dan kaunter pengguna tetapi momentum itu terbukti tidak lama kerana jualan meluas, membayangi sokongan pertengahan minggu daripada saham syarikat telekomunikasi.
Bagi minggu di bawah kajian, indeks penanda aras meningkat 7.90 mata kepada 1,533.76 pada Jumaat daripada 1,525.86 seminggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas naik 26.99 mata kepada 11,506.82, FBMT 100 menokok 28.03 mata kepada 11,269.72 dan FBM Emas Shariah berkurangan 8.89 mata kepada 11,528.98, FBM 70 mencatat penyusutan sebanyak 90.15 mata kepada 16,607.57, manakala FBM ACE jatuh 32.77 mata kepada 4,639.02.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 99.4 mata kepada 17,454.23, Indeks Perladangan turun 7.10 mata kepada 7,434.79 manakala Indeks Tenaga mencatat peningkatan 0.21 mata kepada 739.85.
Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 11.92 bilion unit bernilai RM11.43 bilion berbanding 15.53 bilion unit bernilai RM11.77 bilion minggu sebelumnya.
Dagangan di Pasaran Utama turut berkurangan kepada 6.63 bilion unit bernilai RM9.70 bilion daripada 6.73 bilion unit bernilai RM10.07 bilion sebelumnya.
Dagangan waran menokok kepada 7.10 bilion unit bernilai RM1.15 bilion daripada 6.83 bilion unit bernilai RM966.72 juta pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE pula merosot kepada RM1.68 bilion unit bernilai RM577.05 juta berbanding 1.97 billion unit bernilai RM729.96 juta sebelumnya.
-- BERNAMA