BERITA TERKINI   Siling penggunaan BUDI95 bagi pemandu e-hailing sepenuh masa dinaikkan sekali ganda kepada 600 liter sebulan - MOF | BUDI95 kini turut diperluaskan kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak - MOF | KPT setuju beri kemudahan PdP secara dalam talian atau hibrid kepada pelajar, tenaga pengajar beragama Hindu di seluruh IPTA bermula 16-24 Okt sempena Deepavali | Ringgit berpotensi mengukuh kepada RM4 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun - Gabenor BNM | Maqasid Syariah bermula dengan tadbir urus yang baik - PM Anwar | 

Thailand Dan Kemboja Setuju Laksana Gencatan Senjata - PM Anwar

JITRA, 25 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta mengarahkan tentera mereka yang berada di sempadan kedua-dua negara agar berundur.

Beliau berkata kedua-dua negara bersetuju namun meminta sedikit masa kerana tentera mereka sudah berada di sempadan, oleh itu mereka harus diberikan waktu untuk bergerak keluar.

“Semalam saya dapat bicara bersama Pemangku Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja kerana kedudukan Malaysia dan rasa hormat mereka kepada kita.

“Saya bersyukur kerana apabila saya bicara bersama mereka, kedua-duanya menyambut baik dengan hormat... sebab apa? Sebab Malaysia negara aman dan stabil,” katanya ketika berucap pada Program Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025 di sini hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan Perdana Menteri menyambut baik isyarat positif serta kesediaan yang ditunjukkan oleh Bangkok dan Phnom Penh dalam mempertimbangkan pelaksanaan gencatan senjata bagi mengelakkan konflik lebih buruk di sempadan kedua-dua negara.

Anwar dilapor telah menghubungi Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai pada Khamis bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan ketegangan antara kedua-dua negara.

Media sebelum ini melaporkan bahawa tentera Thailand dan Kemboja bertempur pada Khamis di kawasan pertikaian sempadan bersama, dengan kedua-dua pihak saling menuding jari sebagai pencetus konfrontasi terbaharu itu.

Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu meningkat sejak 28 Mei susulan insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Kedua-dua negara telah berselisih pendapat mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad dan pertikaian ini terus menjejaskan hubungan diplomatik mereka.

-- BERNAMA