BERITA TERKINI   Siling penggunaan BUDI95 bagi pemandu e-hailing sepenuh masa dinaikkan sekali ganda kepada 600 liter sebulan - MOF | BUDI95 kini turut diperluaskan kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak - MOF | KPT setuju beri kemudahan PdP secara dalam talian atau hibrid kepada pelajar, tenaga pengajar beragama Hindu di seluruh IPTA bermula 16-24 Okt sempena Deepavali | Ringgit berpotensi mengukuh kepada RM4 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun - Gabenor BNM | Maqasid Syariah bermula dengan tadbir urus yang baik - PM Anwar | 

Eksport Semikonduktor Malaysia Berdaya Tahan, Naik 15.7 Peratus Pada Separuh Pertama 2025 - Tengku Zafrul

PETALING JAYA, 24 Julai (Bernama) -- Eksport semikonduktor Malaysia kekal berdaya tahan, meningkat 15.7 peratus dalam tempoh enam bulan pertama pada tahun ini sahaja, mengatasi pertumbuhan eksport keseluruhan sebanyak 3.8 peratus, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata setiap RM1 yang dibelanjakan akan menjana lebih RM2 dalam hasil langsung merentasi ekonomi melalui rantaian bekalan, sektor sokongan dan pendapatan isi rumah.

“Secara keseluruhan, industri ini menjana hasil ekonomi sebanyak RM4.9 trilion pada tahun lepas, menggariskan peranannya sebagai pemangkin nasional,” katanya dalam ucapan pada Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN (ASEMIS) 2025 hari ini.

Tengku Zafrul berkata prestasi separuh pertama 2025 jelas menunjukkan kepentingan dan daya saing Malaysia dalam sektor semikonduktor global walaupun berdepan cabaran global.

Beliau berkata aspek yang tidak kurang penting ialah pertumbuhan ini berkembang -- dari Pulau Pinang dan Selangor ke Kedah, Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak.

Selain itu, katanya langkah ini juga bukan hanya meningkatkan prestasi pemain utama, malah hampir 1,000 perusahaan kecil dan sederhana yang membentuk asas ekosistem semikonduktornya.

“Apa yang menjadikan industri ini penting ialah impaknya yang meluas,” katanya.

-- BERNAMA