BERITA TERKINI   Liga Super: Kelantan The Real Warriors FC 0-2 Terengganu FC | Super League: Kelantan The Real Warriors FC 0-2 Terengganu FC | Bayaran balik cukai dikreditkan secara berperingkat mulai minggu kedua bulan Mac 2026 - LHDN | Konflik Timur Tengah: Rakyat Malaysia yang terkandas di Abu Dhabi selamat tiba di Malaysia pada 9.24 malam ini menaiki penerbangan Etihad Airways EY486 - Wisma Putra | Kabinet luluskan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) jaga kebajikan pekerja-pekerja gig di Malaysia - TPM Ahmad Zahid | 

AirBorneo Bakal Terima Lapan Pesawat ATR Antara 2027 Hingga 2029

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- AirBorneo memeterai perjanjian dengan pengeluar pesawat ATR untuk menempah lapan pesawat terdiri daripada lima ATR 72-600 dan tiga ATR 42-600, dengan penghantaran dijadualkan antara 2027 dan 2029.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, AirBorneo dan ATR berkata perjanjian yang dimuktamadkan pada akhir 2025 itu turut termasuk hak pembelian empat pesawat tambahan, sekali gus memberikan pilihan pertumbuhan pada masa depan selain daripada menyediakan perkhidmatan udara luar bandar (RAS).

Menerusi perjanjian itu juga ia membuka peluang potensi pengembangan serantau dalam kawasan pertumbuhan ASEAN Timur yang merangkumi Brunei–Indonesia–Malaysia–Filipina. 

“Ini menandakan pencapaian penting dalam transformasi AirBorneo menjadi syarikat penerbangan milik Sarawak dan pengambilalihan tanggungjawab bagi rangkaian RAS, satu perkhidmatan awam penting yang menghubungkan komuniti terpencil dan kurang mendapat perkhidmatan di Sarawak, Sabah dan Labuan,” kata kenyataan itu.

Ia berkata tempahan berkenaan menyokong strategi pembaharuan armada jangka panjang AirBorneo susulan pengambilalihan MASwings Sdn Bhd oleh kerajaan Sarawak pada 2025 dan penjenamaan semula syarikat itu sebagai AirBorneo.

AirBorneo kini mengendalikan lapan pesawat ATR 72-500 yang diambilalih daripada MASwings.

-- BERNAMA