BERITA TERKINI   Konflik Asia Barat: Kuota BUDI95 diselaras sementara kepada 200 liter sebulan daripada 300 liter bermula 1 April — PM Anwar | Had siling subsidi bersasar petrol RON95 bagi e-hailing, pekerja gig dikekalkan sehingga 800 liter - PM Anwar | Konflik Asia Barat: Sabah, Sarawak akan terus nikmati diesel subsidi pada RM2.15 seliter walaupun harga melambung naik- PM Anwar | Malaysia kekal sebagai pusat tarikan pelaburan yang sangat aktif meskipun dunia berdepan kemelut dan peperangan - PM Anwar | PM Anwar harap rakyat faham pengurangan kuota subsidi BUDI RON95 dibuat teliti dan berhemah | 

Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar AS, Lebih Tinggi Daripada Mata Wang Utama

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Selasa didorong data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh telah meningkatkan nilai mata wangnya tetapi lebih tinggi daripada mata wang utama lain.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan menyusut kepada 3.9540/9650 berbanding dolar AS daripada 3.9440/9500 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Menurut Institut Pengurusan Bekalan (ISM), Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan AS meningkat kepada 52.6 pada Januari daripada 47.9 pada Disember 2025.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat selepas data Indeks ISM bagi sektor pembuatan AS mencatatkan bacaan yang lebih tinggi pada Januari, menunjukkan syarikat AS optimis walaupun tinjauan menunjukkan wujudnya tahap pesimisme tertentu.

“Sehubungan itu, ringgit berpotensi mencatatkan trajektori rendah hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan naik berbanding euro kepada 4.6649/6779 daripada 4.6957/7029 semasa ditutup pada Jumaat lepas, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5426/5498 daripada 2.5562/5603 dan tinggi berbanding pound kepada 5.4059/4209 daripada 5.4163/4245.

Bagaimanapun, mata wang tempatan dibuka rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1092/1184 daripada 3.1077/1127, merosot berbanding baht Thailand kepada 12.5488/5941 daripada 12.5250/5544 dan menyusut berbanding peso Filipina kepada 6.71/6.73 daripada 6.69/6.71.

Mata wang tempatan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 235.3/236.1 daripada 234.9/235.4 pada Jumaat lepas.

Pasaran ditutup semalam bersempena cuti umum Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan.

-- BERNAMA