BERITA TERKINI   Malaysia tetapkan sasaran capai RM100 bilion dalam jualan francais negara menjelang 2030 - Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Jaguh renang negara Khiew Hoe Yean raih pingat emas 400m gaya bebas lelaki dengan catatan masa 3:50.63s | Thailand akan adakan pilihan raya umum pada 8 Feb - Suruhanjaya Pilihan Raya | Sukan SEA 2025: Kuartet 4x100 meter lelaki negara rangkul perak, pecah rekod kebangsaan dengan catatan baharu 39.03 saat | Sukan SEA 2025: Atlet olahraga negara Andre Anura Anuar rangkul emas lompat jauh lelaki | 

MTD Properties Sasar Labur RM4 Bilion Untuk Projek Strategik Baharu Di Melaka

MELAKA, 24 Julai (Bernama) -- MTD Properties menyasar melaksanakan pembangunan strategik baharu di Ayer Keroh membabitkan nilai pelaburan kira-kira RM4 bilion pada masa akan datang.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pelaburan itu bukan sahaja mencerminkan keyakinan pihak swasta terhadap potensi Melaka sebagai destinasi pelaburan utama malah membawa limpahan manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Pelaburan besar ini membawa peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan memberi kesan positif kepada kesejahteraan sosial masyarakat.

“Inilah makna pembangunan berjiwa rakyat yang kita perjuangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Jualan MTD Properties di Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad, Pengarah Kumpulan MTD Nik Faizul Nik Hussain dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MTD Dr Nik Fauzan Nik Faizul.

Ab Rauf berkata sejak mula bertapak di Melaka pada 1995, MTD Properties telah merealisasikan 41 projek pembangunan meliputi sektor perumahan, komersial dan industri dengan nilai pelaburan RM4.5 bilion.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga, tanah seluas 65.76 hektar di Taman Tasik Utama telah dibangunkan dengan kerjasama kerajaan negeri bagi menyediakan kemudahan awam seperti institusi pendidikan, masjid, taman rekreasi dan infrastruktur sokongan komuniti.

Antara projek baharu sedang dibangunkan adalah MTD Cinerea Heights, MTD Nexus 28 Industrial Park dan MTD Elysia Heights.

-- BERNAMA