BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Subsidi Bersasar RON95, Tangguh Kenaikan Tol Membolehkan Mobiliti Untuk Rakyat Kekal Mampu Milik

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Keputusan kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar bagi RON95 dan mengekalkan kadar tol sedia ada akan memastikan mobiliti kekal mampu milik dan mudah diakses oleh rakyat, kata Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Carsome Aaron Kee, hari ini.

Sebagai maklum balas kepada pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim awal hari ini, Kee berkata kedua-dua langkah itu merupakan tindakan yang seimbang untuk melindungi kumpulan penting seperti penunggang motosikal, pekerja gig dan pemandu muda, sambil mengukuhkan keperluan untuk kemampanan fiskal jangka panjang.

“Dari perspektif industri, penetapan harga bahan api yang lebih sejajar dengan pasaran membantu meningkatkan ketelusan terhadap kos pemilikan kenderaan, sekali gus memudahkan pengguna untuk membuat keputusan yang lebih bijak ketika membeli atau memiliki kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Apabila faktor itu digabungkan dengan pengekalan kadar tol sedia ada, Kee berkata dasar-dasar berkenaan menawarkan lebih banyak kepastian kepada pengguna jalan raya dan menyokong perancangan mobiliti yang lebih teratur, terutama pada waktu di mana aspek kemampuan dan kecekapan menjadi keutamaan.

Anwar hari ini mengumumkan Putrajaya telah bersetuju untuk menangguhkan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya yang sepatutnya berkuat kuasa tahun ini.

Antara lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).

Selain itu, rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 yang lebih rendah iaitu RM1.99 seliter susulan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga kekal dengan rancangan menyasarkan subsidi petrol RON95 dengan perincian bakal diumumkan menjelang akhir September 2025.

-- BERNAMA