BERITA TERKINI   PM Anwar dijangka bertemu pemimpin Kemboja, Thailand esok di Putrajaya - PMO | PM Anwar jangka bertemu pemimpin Kemboja, Thailand esok di Putrajaya | GRS akan terus sokong Kerajaan MADANI, banyak tuntutan Sabah dalam MA63 dilulus dan direalisasikan - Hajiji | Semua MRSM diisytiharkan cuti esok sempena kejayaan juarai Kejohanan Super Schools Rugby 2025 - Pengerusi MARA | PM Anwar akan lakukan lawatan kerja dua hari ke Indonesia, mulai 28 Julai bagi menghadiri Rundingan Tahunan ke-13 dengan Presiden Prabowo Subianto - Duta Besar Malaysia ke Indonesia | 

Usaha Rapatkan Jurang Digital Penting Untuk Sokong Pertumbuhan Inklusif Logistik Sabah

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 22 Julai (Bernama) -- Sektor logistik dan perdagangan Sabah hanya boleh berkembang maju sekiranya usaha untuk mendigitalkan industri dipadankan dengan sokongan padu terhadap perniagaan kecil dan komuniti luar bandar, kata seorang pakar logistik serantau.

Bekas presiden Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah (CILT) Malaysia dan naib presiden CILT Antarabangsa bagi Asia Tenggara Datuk Dr Ramli Amir berkata walaupun berlaku kemajuan digital dalam infrastruktur pelabuhan dan perancangan logistik, namun banyak bahagian di Sabah masih belum terhubung secara digital.

"Kita perlu memastikan usaha pendigitalan tidak menyebabkan jurang pembangunan semakin melebar. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pemain logistik luar bandar di Sabah memerlukan akses yang sama kepada alatan, platform dan sokongan untuk mengambil bahagian dalam transformasi ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Ramli berkata banyak perusahaan mikro dan perniagaan luar bandar bergelut dengan ketersambungan yang terhad, kurang kesedaran serta latihan digital yang tidak mencukupi, yang menghalang mereka mendapat manfaat daripada inisiatif perdagangan berasaskan data.

Beliau mencadangkan langkah intervensi bersasar, seperti program pembinaan kapasiti, rangka kerja dasar inklusif, dan kerjasama awam-swasta sebagai langkah penting untuk melibatkan para pemain ini.

Beliau juga menggesa pelaburan yang lebih luas dalam infrastruktur digital dan pengembangan jalur lebar di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.

"Transformasi digital mesti inklusif... jika hanya pemain utama yang berada di kawasan bandar yang mendapat manfaat, kita berisiko meminggirkan sebahagian besar daripada ekonomi," katanya.

Beliau berkata kedudukan strategik Sabah di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) menjadikannya berada di kedudukan terbaik untuk mendapat manfaat daripada perjanjian perdagangan serantau,.

Namun, ia tidak akan menjadi kenyataan sekiranya keseluruhan rangkaian logistik negeri – termasuk laluan pengantara luar bandar, pelabuhan komuniti dan pengangkutan darat – tidak termasuk dalam perancangan peningkatan digital.

"Masa depan logistik bukan hanya digital, ia juga perlu saksama... semua orang mesti terlibat sama dalam usaha ini," kata Ramli.

-- BERNAMA