BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup rendah hari ini disebabkan peniaga bersikap berhati-hati menjelang angka eksport utama dan pengeluaran yang akan dikeluarkan minggu depan.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata peniaga mungkin menunggu petunjuk pasaran baharu terutamanya untuk data eksport dan pengeluaran dari 1 hingga 20 Julai.

“Data utama yang akan dikeluarkan seterusnya ialah anggaran juruukur kargo untuk eksport dan angka pengeluaran daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia yang akan memberikan panduan lebih jelas untuk pasaran,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pasaran MSM kelihatan tidak berubah hari ini dengan kontrak bulan akan datang seperti Ogos hingga Disember menunjukkan sedikit pergerakan.

"Pasaran kelihatan tidak mempunyai hala tuju hari ini selepas dua sesi dagangan berubah secara mendadak. Harga didagangkan pada wilayah negatif ketika ditutup," katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak Ogos jatuh RM20 kepada RM4,138 setiap tan, kontrak September 2025 merosot RM18 kepada RM4,180 setiap tan dan Oktober 2025 turun RM14 kepada RM4,210 setiap tan.

Selain itu, kontrak November 2025 turun RM16 kepada RM4,217 setiap tan, Disember 2025 berkurangan RM20 kepada RM4,213 setiap tan manakala January 2026 jatuh RM27 kepada RM4,205 setiap tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 119,798 lot daripada 90,890 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 232,699 kontrak daripada 231,958 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Julai Selatan tidak berubah pada  RM4,850 setiap tan.

-- BERNAMA