Sidang Kemuncak MDX Akan Fokus Kepada Teknologi Nextgen

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Sidang Kemuncak Xceleration Digital Malaysia (MDX) 2025 akan menumpukan pada teknologi generasi akan datang (NEXTGEN), membincangkan lima perkara utama dalam sesi panel sepanjang acara yang berlangsung selama tiga hari itu.

MDX akan berlangsung bersama Sidang Kemuncak SmartGov Malaysia 2025 dari 17 hingga 19 September depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Sidang Kemuncak MDX dianjurkan bersama oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Jabatan Digital Negara.

Sementara itu, kurator acara hibrid dan penyedia platform Synapze Sdn Bhd ialah rakan kongsi strategik.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MDEC Anuar Fariz Fadzil berkata sidang kemuncak itu dijangka meningkatkan lagi kepimpinan digital Malaysia di ASEAN dengan memacu inovasi, pelaburan dan pertumbuhan inklusif.

Beliau berkata lebih 5,000 peserta diunjurkan hadir untuk edisi tahun ini.

Edisi ketiga Sidang Kemuncak MDX dan SmartGov Malaysia 2025, julung kali diadakan dijangka mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara digital terkemuka di ASEAN.

“Teknologi menggunakan aset digital dan ejen digital pada terasnya akan memacu lagi hasil melalui pembangunan bakat, inovasi dan kecerdasan buatan (AI) yang bertanggungjawab kepada perkhidmatan awam yang lebih bijak,” katanya pada taklimat media pada sidang kemuncak itu di sini hari ini.

Sidang Kemuncak MDX akan memberi tumpuan kepada lima bidang teras: Data Generasi Seterusnya, Pengkomputeran Generasi Seterusnya, Amanah Generasi Seterusnya, Kreativiti Generasi Seterusnya dan Bakat Generasi Seterusnya, menunjukkan cara Malaysia menggunakan inovasi teknologi ke dalam penyelesaian gunaan untuk memanfaatkan perniagaan, perkhidmatan kerajaan, rakyat dan ekonomi serantau lebih luas.

Sebagai platform ekonomi digital terulung negara, Anuar berkata kedua-dua acara berkenaan berperanan sebagai hab untuk perbincangan transformatif mengenai teknologi baru muncul, menyokong cita-cita Malaysia untuk menerajui ekonomi data serantau, seirinhg dengan visi kerajaan MADANI untuk membina sebuah negara pintar inklusif, mampan dan digital sepenuhnya.

Acara itu akan menampilkan pakar antarabangsa termasuk Profesor Ekonomi London School of Economics dan Pengarang buku "The New China Playbook" Dr Keyu Jin.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara Nik Zalbiha Nik Mat berkata kerajaan komited untuk membina ekosistem di mana inovasi berkembang maju sambil menjaga kedaulatan data, kepercayaan dan keterangkuman.

"Visi ini akan dicerminkan dalam fokus acara itu pada chatbot orang ramai yang dikuasakan AI, perkongsian keselamatan siber dan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih bijak," katanya.

SmartGov Malaysia 2025 bertemakan “GovTech for the Future – Innovating Public Service Delivery” menyasarkan untuk mengukuhkan ekosistem GovTech Malaysia dan mempercepatkan penggunaan digital dalam perkhidmatan awam.

Ia menyerlahkan tiga tonggak tadbir urus sedia masa hadapan: AI untuk penyelesaian berpaksikan rakyat, Data Besar untuk kepercayaan dan ketelusan, dan Pengkomputeran Awan untuk perkhidmatan yang tangkas dan berdaya tahan.

-- BERNAMA