BERITA TERKINI   Hak-hak negeri perlu dihormati, namun kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah sentiasa diutamakan - Agong | Agong ingatkan setiap perbahasan, keputusan dan undian di Parlimen bakal menentukan masa depan negara | Sistem pendidikan baharu mesti selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Bahasa Melayu diutamakan - Agong | Undang-undang berkaitan keselamatan negara dan ancaman luar wajar diwujudkan segera, pastikan keharmonian semua kaum dan kedaulatan negara - Agong | Bukan hanya penerima rasuah tetapi pemberi dan ejen yang bersubahat turut perlu diambil tindakan - Agong | 

MIDF Amanah Dijenamakan Semula Kepada MBSB Investment Bank

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- MBSB Group secara rasmi menjenamakan semula MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MAIB) kepada MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB), berkuat kuasa 10 Julai 2025.

Langkah ini sebagai sebahagian daripada perubahan menyeluruh selain strategi penjenamaan bersatu kumpulan.

Kumpulan tersebut dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan penjenamaan semula berkenaan mencerminkan komitmen mereka untuk mempersembahkan satu identiti tunggal dan bersatu kepada pelanggan, pengawal selia dan rakan kerjasama.

Katanya, ini menandakan kekuatan dan tawaran yang meluas merentasi portfolio kumpulan.

“MBSB IB berdiri sebagai tonggak penting dalam Perbankan Borong MBSB bersama-sama dengan Perbankan Korporat dan Institusi, Pasaran Kewangan, Pengurusan Aset dan Perbankan Transaksi.

“Walaupun kerjasama merentasi liputan pelanggan dan penyampaian penyelesaian sudah pun kukuh, penjenamaan semula ini bertujuan mempertingkatkan sinergi tersebut dalam kumpulan,” katanya.

Ia berkata MBSB IB akan terus menyumbang kepada pendapatan bukan pembiayaan kumpulan melalui kekuatan terasnya dalam bidang perundingan, penyelidikan, broker ekuiti dan pasaran modal termasuk penyusunan sukuk, pengumpulan ekuiti dan pembiayaan projek.

MBSB Group berkata bahagian penyelidikan pelaburannya, MIDF Research juga dijenamakan semula sebagai MBSB Research selain terus menyediakan maklumat pasaran dan wawasan ekonomi yang tepat pada masanya bagi menyokong kumpulan serta komuniti pelaburan yang lebih luas.

-- BERNAMA