BNM Dijangka Kekalkan OPR Pada 2.75 Peratus Pada 2025 - BMI
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada 2025, menurut BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions.
Dalam nota penyelidikan hari ini, BMI percaya penurunan kadar sebanyak 25 mata asas itu akan menjadi yang terakhir pada tahun ini.
“Walaupun penurunan kadar ini lebih awal daripada jangkaan, kami mengekalkan pandangan bahawa ia akan menjadi yang terakhir dalam kitaran semasa dan OPR akan kekal pada 2.75 peratus menjelang akhir tahun,” katanya.
BMI turut menjangka sektor perbankan akan kurang bimbang mengenai inflasi buat masa ini.
Inflasi keseluruhan berkurangan kepada 1.2 peratus pada Mei daripada 1.4 peratus pada April tahun ke tahun – ia kekal di bawah purata 10 tahun sebanyak 2.0 peratus selama 12 bulan berturut-turut, katanya.
“Kami mengingatkan bahawa pelan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 akan menambah tekanan harga dan berpotensi menyebabkan bank berada dalam keadaan sukar jika pelonggaran dasar monetari dilaksanakan secara berlebihan.
“Berdasarkan pihak berkuasa masih berada pada peringkat akhir perbincangan, kami menjangka pelan itu akan hanya dilaksanakan seawal suku keempat 2025,” katanya, sambil menambah program ini yang dilaksanakan secara bersasar menunjukkan impaknya terhadap inflasi keseluruhan akan menjadi terhad.
Dalam pada itu, BMI menyatakan pandangan kurang optimis terhadap hasil rundingan perdagangan tarif berdasarkan perkembangan terkini.
“Tanpa kemajuan yang jelas dalam rundingan perdagangan, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah mengancam untuk mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas negara-negara yang menyokong dasar ‘anti-Amerika’ perkumpulan BRICS.
“Ini merupakan perkembangan negatif bagi Malaysia berdasarkan ia sebagai negara rakan,” katanya.
-- BERNAMA