BERITA TERKINI   Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | Inflasi Malaysia berada pada 1.4 peratus pada Februari 2026, mata indeks naikĀ kepada 136.0 daripada 134.1 pada bulan sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Perdagangan Malaysia meningkat 9.5 peratus kepada RM245.2 bilion pada Februari 2026, disokong oleh pengembangan berterusan dalam eksport dan import - Jabatan Perangkaan | Sabotaj Negara: PDRM akan rakam keterangan 14 lagi individu bagi lengkapkan kertas siasatan - KPN | 

Rundingan Malaysia-AS Masih Berlangsung Meskipun Trump Kenakan Tarif 25 Peratus - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Tarif sebanyak 25 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia adalah keputusan Presiden Donald Trump dan bukan hasil daripada proses rundingan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Kami telah pun bertanya kepada wakil AS (mengenai tarif 25 peratus, tiada jawapan. Begitu juga, seperti Jepun, persoalannya ialah kenapa (tarif) tiba-tiba naik satu peratus?” katanya pada sidang media khas bagi menjelaskan pendirian serta tindakan susulan Malaysia berhubung pengumuman tarif terbaharu oleh Trump itu.

Pada April lepas, Malaysia dan Jepun dikenakan tarif sebanyak 24 peratus oleh pentadbiran AS.

Tengku Zafrul menegaskan bahawa rundingan antara Malaysia dan AS masih berjalan sehingga tarikh kuat kuasa tarif tersebut pada 1 Ogos, justeru rundingan tersebut tidak boleh dianggap gagal. 

"Jadi, rundingan akan diteruskan. Ia bukan soal rundingan gagal, bukan soal bahawa ini tentang Malaysia atau dunia sedang berdepan krisis.

"Sudah tentunya, dalam semua rundingan, dalam semua mesyuarat, dalam semua platform, kita terus menegaskan pandangan kita bahawa kita menyokong prinsip multilateralisme. Kita yakin kepada sistem perdagangan berasaskan peraturan, sudah tentu, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia sebagai tunjangnya," katanya.

Antara negara yang turut dikenakan tarif 25 peratus ialah Jepun, Korea Selatan, Tunisia dan Kazakhstan.

Mengulas mengenai tambahan tarif 10 peratus ke atas semua negara anggota BRICS dalam masa terdekat yang diumumkan Trump, Tengku Zafrul berkata sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan terbaharu mengenai hal itu.

“Itu kenyataan Trump, tetapi setakat ini tiada maklumat lanjut mengenai perkara itu,” katanya.

Mengenai prospek ekonomi tahun ini dan impak daripada tarif, Tengku Zafrul berkata Bank Negara Malaysia kini sedang melakukan beberapa analisis mengenai kesannya. 

“Tetapi pada masa ini, secara rasminya masih sama.

"Dari segi unjuran pertumbuhan ekonomi kita, butirannya akan diumumkan oleh bank pusat. Saya rasa mereka juga sedang menunggu (hasil daripada) rundingan kami," katanya.

— BERNAMA