Pasaran Getah Ditutup Rendah Jejaki Penyusutan Serantau, Penurunan Harga Minyak
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup lebih rendah pada Isnin, menjejaki penyusutan dalam niaga hadapan getah serantau dan penurunan harga minyak mentah, kata peniaga.
Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun turut menyusut seiring dengan penurunan harga minyak.
“Harga minyak menyusut pada Isnin selepas OPEC+ mengejutkan pasaran apabila mengumumkan peningkatan pengeluaran yang lebih besar berbanding jangkaan bagi Ogos,” katanya kepada Bernama.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent menyusut 0.13 peratus kepada US$68.21 setong.
Beliau berkata sentimen pasaran juga dipengaruhi oleh ketidaktentuan mengenai tarif perdagangan Amerika Syarikat dan konflik yang berterusan di Timur Tengah.
Bagaimanapun, penyusutan selanjutnya dihadkan oleh ringgit yang lebih rendah berbanding dolar AS dan isyarat pemulihan dalam sektor automotif.
"Pengeluaran dan jualan dalam industri automobil dilaporkan meningkat semula dari bulan ke bulan dan tahun ke tahun pada separuh pertama 2025," katanya.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga SMR 20 menyusut 11.0 sen kepada 700.00 sen sekilogram manakala susu getah pukal rendah 6.0 sen kepada 565.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA