Esteel Enterprise Tingkatkan Pelaburan, Bukti Keyakinan Terhadap Ekonomi Sabah

KOTA KINABALU, 7 Julai (Bernama) -- Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd melaksanakan langkah strategik dengan meningkatkan jumlah pelaburan dan memperluas kapasiti operasi, bukti keyakinan berterusan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Sabah.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri Datuk Phoong Jin Zhe berkata keyakinan tersebut dizahirkan melalui pemeteraian perjanjian penyewaan tanah bagi pembangunan Fasa 2 dan Fasa 3 Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) pada 31 Dis tahun lepas.

Beliau berkata komitmen syarikat itu diperkukuh melalui pembayaran deposit RM35 juta untuk projek terbabit.

“Selepas penerimaan lesen pengilangan pada penghujung Januari lepas, syarikat Esteel Enterprise Sabah melaksanakan langkah susulan secara proaktif dan teratur untuk memastikan kelangsungan pelaksanaan pelaburan di SOGIP,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Jannie Lasimbang (PH-Kapayan) yang ingin tahu mengenai perkembangan terkini pelaburan syarikat itu.

Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd, sebuah syarikat subsidiari Green Esteel Pte Ltd dari Singapura, telah didaftarkan di Malaysia pada 28 Sept 2022 melibatkan perniagaan termasuk pembuatan pelbagai produk besi dan keluli.

Phoong berkata pada Februari lepas, Esteel telah memeterai Perjanjian Bekalan Gas Asli bersama Sabah Energy Corporation dan Petronas untuk memastikan bekalan gas asli dan sumber tenaga yang stabil bagi menyokong operasi kilang pembuatan keluli hijau syarikat itu di SOGIP.

Katanya pada Mac dan April lepas, Esteel menumpukan perhatian untuk melaksanakan proses pembidaan kontraktor bagi pembinaan jeti persendirian, yang membawa kepada pemeteraian Kontrak Pembinaan Jeti Fasa 1 dengan China Communications Construction Company pada 30 Mei lepas.

Beliau berkata beberapa kemajuan penting turut dicapai termasuklah kelulusan pelan pembangunan pembinaan kilang oleh Majlis Daerah Sipitang, kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar dan kelulusan pelan kerja tanah.

“Bagi mempercepat kemajuan pembinaan kilang ini, Esteel telah memuktamadkan perjanjian kontrak dengan syarikat yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan penyediaan tapak. Pada masa ini, kerja-kerja tersebut sedang giat dijalankan,” katanya.

Phoong berkata syarikat itu meletakkan keyakinan tinggi bahawa transformasi fizikal tapak akan dapat dilihat dengan ketara menjelang Julai dan Ogos ini.

Katanya ini mencerminkan kemajuan kerja dan komitmen berterusan untuk merealisasikan pembangunan industri keluli hijau bersepadu di Sabah.

“Kementerian saya sentiasa komited untuk terus menyelaras dan memudah cara pelaksanaan pelaburan ini agar pengoperasian kilang dapat dipercepatkan.

“Ini seterusnya merancakkan pertumbuhan sektor pembuatan di Sabah dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.

-- BERNAMA