BERITA TERKINI   Perdana Menteri tiba di Rio de Janeiro pada Sabtu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 | 

Produk Gegelung Besi Dari Tiga Negara Didapati Diimport Pada Harga Lambakan - MITI

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Kerajaan mendapati terdapat bukti yang mencukupi bahawa produk gegelung atau kepingan besi bergalvani atau gegelung atau kepingan keluli bergalvani berasal dari China, Korea Selatan dan Vietnam, diimport pada harga lambakan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata penentuan awal berkenaan penyiasatan duti anti-lambakan dibuat sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 23 dalam Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993. 

"Oleh yang demikian, kerajaan telah memutuskan untuk mengenakan duti anti-lambakan sementara dalam bentuk jaminan bank yang bersamaan dengan nilai margin lambakan yang telah dikenal pasti dalam penentuan awal, iaitu di antara 3.86 peratus hingga 57.90 peratus ke atas import dagangan subjek dari China, Korea Selatan dan Vietnam untuk mengelakkan sebarang kecederaan material lanjut terhadap industri tempatan semasa penyiasatan dijalankan. 

"Pengenaan duti anti-lambakan sementara akan berkuat kuasa bagi tempoh tidak melebihi 120 hari, mulai 7 Julai 2025 dan penentuan muktamad akan dibuat pada atau sebelum 3 November 2025," kata kementerian itu.

Menurut MITI, kerajaan memulakan penyiasatan duti antilambakan terhadap import produk tersebut pada 6 Februari lalu dan susulan penentuan awal ini, penyiasatan seharusnya diteruskan.

Siasatan yang turut dilakukan di bawah Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 berdasarkan petisyen yang difailkan oleh CSC Steel Sdn Bhd.

Pempetisyen (CSC Steel) mewakili industri tempatan yang mengeluarkan produk serupa, mendakwa dagangan subjek berasal dari China, Korea Selatan dan Vietnam yang diimport ke Malaysia pada harga lebih rendah daripada harga dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.

Bagaimanapun, MITI menegaskan mana-mana pihak berkepentingan sama ada pengimport, pengeluar atau pengeksport asing dan persatuan yang berkaitan dengan penyiasatan dialu-alukan untuk memberi ulasan atau pandangan terhadap laporan penentuan awal kepada kementerian.

Ulasan atau pandangan boleh dikemukakan selewat-lewatnya pada 14 Julai, 2025.

"Pihak berkepentingan boleh mendapatkan laporan Penentuan Awal versi tidak sulit dari sistem Trade Remedies Investigation Management (TRIMA) melalui pautan https://traderemedies.miti.gov.my/," kata MITI.

 -- BERNAMA